Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

ICC keluar waran tangkap: Orban undang Netanyahu ke Hungary

0

Oleh REUTERS

BUDAPEST: Perdana Menteri, Viktor Orban mengundang rakan sejawatnya dari Israel, Benjamin Netanyahu untuk melawat Hungary, selain memberi jaminan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ‘tidak akan dipatuhi’ sepanjang lawatannya kelak.

Bercakap kepada radio negara hari ini, beliau berkata, waran tangkap dikeluarkan ICC itu adalah ‘salah’, selain menegaskan Netanyahu berpeluang mengadakan rundingan ‘pada tahap keselamatan mencukupi’ di Hungary.

“Hari ini saya menjemput Netanyahu melawat Hungary dan saya memberi jaminan beliau tidak akan terjejas dengan keputusan ICC serta kami tidak akan mematuhi kandungannya jika beliau berkunjung ke sini, kelak,” katanya.

Kedua-dua mereka menjalin hubungan politik yang rapat sejak Orban dan parti diwakilinya, Fidesz menerajui pentadbiran pada 2010.

Kali terakhir Netanyahu melawat Budapest adalah pada 2017.

ICC semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, bekas ketua pertahanannya dan pemimpin Hamas, Ibrahim Al-Masri atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan dalam konflik di Gaza.

Rentetan itu, pemimpin Israel dan Rumah Putih dengan tegas mengecam keputusan ICC, manakala Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, berkata waran itu bukan bersifat politik dan semua negara anggota EU harus menghormati serta melaksanakan keputusan berkenaan.

Dalam blok EU, Hungary dan Republik Czech adalah penyokong kuat Israel, manakala beberapa negara seperti Sepanyol dan Ireland pula memberi sokongan kepada rakyat Palestin.

Kementerian Luar Czech dalam maklum balas ke atas keputusan ICC, menyatakan Prague akan menghormati kewajipan undang-undang antarabangsa yang dipikulnya.

Namun, Perdana Menteri Czech, Petr Fiala, dalam ciapan di X malam tadi, menyifatkan keputusan ICC itu sebagai ‘malang’, sambil berkata: “(Tindakan ini) melemahkan kewibawaannya dalam kes lain apabila ia menyamakan wakil rakyat dipilih dalam negara demokratik dengan pemimpin organisasi pengganas Islam.”

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.