KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) — Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam mengetuai kementerian yang baru dalam menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.
“Bagi pihak PBS, saya bersyukur kerana sekali lagi diberi peluang untuk berkhidmat kepada negara sebagai anggota Kabinet Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu berkata PBS sangat menghargai pelantikan itu dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam potfolio yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah satu peluang terbaik untuk menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di Sabah dan Sarawak dalam skop persekutuan Malaysia, sama ada dalam perkara undang-undang, dasar-dasar kerajaan, keselamatan dan pembangunan keseluruhan,” katanya.