TENOM (Sabah, Malaysia) — Memberi kesedaran kepada golongan belia tentang betapa penting penjagaan dan pemuliharaan serta mengekalkan keindahan alam semula jadi adalah keutamaan kami, kata Asumi Kobayashi, seorang sukarelawan dari Jepun.
Kakitangan Taman-Taman Sabah sebagai staf sukarelawan dibawah tajaan “Japan Overseas Conservation Volunteer” itu, Asumi mengalas tanggungjawab sebagai Pembangunan Komuniti di Crocker Range Park Keningau.
Katanya, kesedaran golongan belia tentang pemuliharaan alam sekitar di negeri ini (Sabah) masih ditahap rendah.
“Inilah tanggungjawab kami memberi kesedaran dan membimbing golongan belia agar mereka sedar dan peka dengan pemuliharaan alam sekitar dan membuang sampah dengan tidak sewenang-wenangnya” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Taklimat dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC)daerah Tenom di Pusat Kebudayaan Murut di sini.
Menurut Asumi, tumpuan mereka adalah golongan belia yang tinggal di kampung-kampung yang berhampiran dengan kawasan Taman-Taman Sabah di mana mereka bekerjasama dengan pihak pengurusan Taman-Taman Sabah memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan menarik.
Gadis Jepun yang kini menguasai Bahasa Malaysia dengan fasih itu berkata, mereka melatih dan menyemaikan sikap cintakan alam sekitar dalam jiwa golongan belia.
Selain itu katanya , mereka juga akan membawa golongan belia menerokai sumber yang boleh meningkatkan ekonomi mereka.
“Antaranya, produk kraftangan yang perlu diperkasakan bagi memboleh pengusahanya merai pendapatan yang boleh menampung keperluan keluarga” jelasnya.
Asumi mula menjalankan tugas di Taman-Taman Sabah pada 3 April 2019 sehingga 2 April 2021 akan datang.