Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

90 pegawai penjara di Ecuador jadi tebusan

0

QUITO: Sekurang-kurangnya 90 pegawai penjara dijadikan tebusan oleh kumpulan banduan di beberapa pusat tahanan di Ecuador.

Pegawai berkenaan ditahan selepas pertempuran tercetus antara banduan sehingga menyebabkan enam tahanan maut di sebuah penjara di Guayaquil.

“Ketika ini, kira-kira 90 pengawai keselamatan penjara ditahan di kemudahan di lima wilayah.

“Semua pegawai berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik,” kata pihak berkuasa penjara SNAI menerusi WhatsApp.

Jelasnya, insiden itu berlaku ketika kumpulan banduan di 13 penjara di seluruh negara melancarkan mogok lapar.

Situasi itu susulan rusuhan berlaku di penjara Guayas 1 di bandar pelabuhan Guayaquil, yang menyebabkan enam banduan terbunuh.

Sekurang-kurangnya 11 lagi cedera dalam pertempuran antara kumpulan banduan.

Pembunuhan beramai-ramai dengan menampilkan tahap keganasan ekstrem merupakan perkara biasa dalam penjara Ecuador yang sesak.

Pihak berkuasa memaklumkan 12 insiden rusuhan kumpulan dadah sudah meragut sekurang-kurangnya 420 nyawa di penjara di negara itu sejak 2021.

Sementara itu, kerajaan Ecuador mengisytiharkan darurat di dua wilayah ketika situasi keselamatan semakin meruncing di negara itu.

Darurat diisytiharkan selepas Datuk Bandar Manta, Agustin Intriago terbunuh dalam satu serangan yang disasarkan dan pemberontakan di beberapa penjara di seluruh negara. – AFP/AGENSI

 

 468 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.