Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Harga minyak turun mendadak selepas AS, Iran henti berbalas serangan

0

HONG KONG: Harga minyak menjunam hari ini selepas serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang terhenti seketika meningkatkan harapan kedua-dua negara akan kembali mematuhi gencatan senjata serta meneruskan rundingan untuk membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Selepas 13 hari serangan terhadap beberapa lokasi di Iran, AS tidak melancarkan sebarang serangan sepanjang hujung minggu, manakala wakil AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Presiden Donald Trump sedang ‘memberi ruang kepada rundingan’.

Tehran pula mengumumkan akan menghentikan serangan balas terhadap negara-negara jiran di rantau itu, sekali gus memberi kelegaan kepada sektor perkapalan Teluk dan industri minyak.

Kedua-dua negara kembali bertelagah bulan ini, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang rapuh, selepas Iran menyerang kapal yang melalui perairan Oman di Selat Hormuz, mencetuskan peningkatan ketegangan secara berperingkat.

Keadaan itu menggagalkan usaha diplomatik antara Washington dan Tehran, sebelum konflik merebak melangkaui laluan tenaga penting itu apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman menyerang kapal Arab Saudi di Selat Bab el-Mandeb, pintu masuk utama ke Laut Merah.

Harga minyak mentah melonjak susulan ketegangan itu, dengan Brent kembali melepasi paras AS$100 setong minggu lalu buat kali pertama sejak Mei.

Bagaimanapun, berita bahawa perkapalan di Laut Merah masih diteruskan membantu mengurangkan kenaikan harga pada Jumaat lalu.

Namun, keputusan Trump untuk menangguhkan serangan lanjut serta dakwaan Iran bahawa rundingan dengan Oman mengenai pengurusan Selat Hormuz menunjukkan kemajuan, memberi sedikit kelegaan kepada pasaran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata perbincangan itu tertumpu kepada ‘prinsip bersama dan mekanisme operasi’ bagi memastikan laluan selamat kapal melalui Selat Hormuz sambil menghormati hak kedaulatan kedua-dua negara.

Sementara itu, satu laporan menyebut Pakistan sedang meneliti kemungkinan menyambung semula rundingan damai antara AS dan Iran, susulan usaha yang dimulakan oleh China.

Kedua-dua penanda aras utama minyak mencatatkan kejatuhan ketara semalam, dengan Brent merosot lebih tujuh peratus pada satu ketika sehingga kembali jatuh di bawah paras AS$90 setong.

Penganalisis National Australia Bank, Sally Auld, berkata perkembangan positif di Asia Barat sepanjang hujung minggu menguatkan tanggapan bahawa harga minyak melebihi AS$100 setong mendorong kedua-dua pihak mengambil pendekatan untuk meredakan konflik.

Perkembangan itu turut meredakan kebimbangan terhadap kebangkitan semula inflasi dan kemungkinan pusingan baharu kenaikan kadar faedah, sekali gus membantu kebanyakan pasaran saham mencatatkan kenaikan.

Bagaimanapun, kebimbangan mengenai kelestarian ledakan kecerdasan buatan (AI) serta persoalan terhadap pelaburan modal yang sangat besar dalam sektor itu terus menekan sentimen pelabur, menyebabkan saham syarikat teknologi terus menerima tekanan jualan.

Bursa Seoul sekali lagi mengetuai penurunan dengan susut lebih satu peratus apabila saham gergasi cip, SK hynix dan Samsung, terus menjadi sasaran jualan.

Pasaran Taipei dan Singapura turut ditutup rendah, manakala Jakarta merosot susulan peletakan jawatan mengejut Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo, atas alasan peribadi.

Sebaliknya, Tokyo ditutup lebih tinggi walaupun saham syarikat teknologi seperti Advantest, Kioxia dan Tokyo Electron mengalami tekanan jualan yang ketara.

Hong Kong, Sydney, Shanghai, Wellington dan Manila pula mencatatkan kenaikan.

Pelabur kini menantikan laporan pendapatan SK hynix, Samsung dan Kioxia minggu ini, selain keputusan kewangan syarikat gergasi teknologi AS seperti Microsoft, Meta, Apple dan Amazon, dengan tumpuan diberikan kepada unjuran prestasi serta rancangan perbelanjaan mereka.

-AFP

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.