
SEOUL: Mahkamah Korea Selatan semalam memerintahkan taikun pembuat cip kecerdasan buatan (AI) di negara itu membayar penyelesaian perceraian yang dikurangkan berjumlah AS$644 juta (kira-kira RM2.86 bilion) kepada bekas isterinya.
Chey Tae-won, 65, ialah Pengerusi SK Group yang memiliki syarikat pengeluar cip memori terkemuka dunia, SK hynix serta menjadi antara tonggak utama ekonomi berasaskan teknologi Korea Selatan.
Mahkamah Tinggi Seoul pada 2024 sebelum ini memerintahkan beliau membayar 1.38 trilion won (kira-kira RM4.6 bilion) kepada bekas isterinya, Roh Soh-yeong yang juga anak perempuan kepada bekas Presiden Korea Selatan.
Jumlah berkenaan yang ketika itu bernilai lebih AS$1 bilion (kira-kira RM4.45 bilion) berdasarkan kadar pertukaran mata wang ketika keputusan dibuat menyebabkan media tempatan menggelar kes itu sebagai “perceraian abad ini”.
Bagaimanapun, Tae-won mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung yang kemudian mengarahkan Mahkamah Tinggi Seoul menilai semula keputusan berkenaan, sekali gus membawa kepada pengurangan jumlah bayaran perceraian kepada 944 bilion won (kira-kira RM3.14 bilion).
Penyelesaian itu bagaimanapun masih belum muktamad kerana mana-mana pihak masih boleh merujuk semula kes berkenaan kepada Mahkamah Agung.
Pertikaian sengit pasangan itu tertumpu kepada tafsiran dan penilaian aset bersama termasuk pegangan saham bernilai tinggi milik Tae-won dalam SK Group.
Mahkamah Tinggi Seoul pada 24 Julai memutuskan bahawa Soh-yeong berhak menerima bayaran tunai bersamaan satu pertiga daripada nilai aset perkahwinan pasangan itu selepas mengambil kira sumbangannya dalam menguruskan rumah tangga, membesarkan anak serta pembabitannya dalam aktiviti awam.
Tae-won dan Soh-yeong berkahwin di kediaman rasmi Presiden Korea Selatan, Rumah Biru (Blue House) di Seoul pada 1988 ketika bapa Soh-yeong, Roh Tae-woo memimpin negara itu dari 1988 hingga 1993. Namun, pasangan berkenaan dilaporkan sudah tinggal berasingan selama lebih 15 tahun. — AFP
![]()