KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 18 Sept – Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh kini boleh memohon penangguhan atau penstrukturan semula bayaran pinjaman sehingga enam bulan, sebagai langkah proaktif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membantu mereka bangkit semula selepas bencana.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, menegaskan dasar ini adalah sebahagian daripada polisi kemanusiaan KUSKOP yang dilaksanakan setiap kali sesuatu daerah atau negeri diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
“KUSKOP mempunyai tujuh agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corp Malaysia.
“Usahawan atau koperasi yang terkesan boleh memohon penangguhan pinjaman dengan syarat membuat laporan polis serta memaklumkan kepada agensi pembiayaan masing-masing. Contohnya, peminjam Bank Rakyat perlu mengemukakan laporan polis dan pengesahan bahawa premis perniagaan mereka terjejas akibat bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan Bank Rakyat mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Khamis.
Menurut Ewon, polisi ini terpakai di Sabah khususnya di daerah terjejas seperti Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang dan beberapa kawasan lain.
“Kita mahu memastikan setiap usahawan dan koperasi mempunyai ruang untuk bernafas serta kembali bangkit selepas berdepan kerugian,” katanya.
Selain mengetengahkan dasar proaktif, Ewon turut memperlihatkan sisi kemanusiaannya apabila menziarahi keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di Kg Marahang dan Kg Mook, Limbahau, Papar yang meragut lima nyawa.
Di Kg Marahang, tiga ahli keluarga terkorban, manakala di Kg Mook, dua lagi nyawa melayang dalam kejadian berasingan.
Ewon, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), hadir bersama pimpinan parti memberi penghormatan terakhir, menyampaikan sumbangan takziah serta menitipkan doa kepada keluarga mangsa.
“Semoga kesatuan doa ini memberi kekuatan kepada keluarga yang sedang berduka,” katanya.
Beliau turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Limbahau untuk diagihkan kepada mangsa banjir, sambil merakamkan penghargaan kepada TEKUN Nasional atas inisiatif CSR tersebut.
![]()