Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Warisan Budaya Orang Asal: Pemacu Ekonomi Baharu Malaysia Melalui Koperasi – Ewon

0

Oleh Rosanna Edeza

TENOM (Sabah, Malaysia), 20 Sept 2025 – Warisan budaya masyarakat Orang Asal di Malaysia bukan sahaja simbol identiti dan sejarah, malah berpotensi besar menjadi pemacu ekonomi baharu negara melalui model koperasi yang inklusif dan mampan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Kementerian bersama agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperkukuh peranan koperasi sebagai instrumen pembangunan ekonomi komuniti Orang Asal dan Orang Asli.

“Sebagai langkah awal, kita akan menganjurkan Persidangan Koperasi Orang Asal Malaysia di Perak, yang bakal menjadi platform strategik menghubungkan kepakaran, peluang pasaran dan inovasi ekonomi berasaskan budaya,” katanya selepas merasmikan Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia 2025 di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, di sini, hari ini.

Ewon menekankan bahawa pakaian tradisional, seni kraf, adat resam dan amalan warisan lain mampu ditransformasi sebagai tarikan pelancongan dan sumber pendapatan mapan apabila diurus secara kolektif melalui koperasi.

“Budaya tidak sepatutnya hanya diwarisi, tetapi juga dimajukan sebagai modal ekonomi. Inilah peluang untuk komuniti Orang Asal mengangkat nilai mereka ke pentas nasional dan global,” jelasnya.

Beliau menyifatkan sambutan seperti Karnival Momogun bukan sahaja mengekalkan identiti komuniti, tetapi turut mengingatkan kembali kepada pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap masyarakat Orang Asal di seluruh dunia.

Menyentuh sambutan Hari Orang Asal Sedunia, Ewon menegaskan masyarakat ini telah diberikan pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa, manakala di Malaysia, hak mereka dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu, katanya, merangkumi kedudukan istimewa Orang Asal, orang Melayu serta Anak Negeri Sabah dan Sarawak dalam pendidikan, biasiswa, perkhidmatan awam dan kemudahan khas lain.

“Hak Anak Negeri Sabah turut termaktub dalam Ordinan Anak Negeri Sabah. Sebagai anggota Kabinet daripada komuniti Orang Asal, saya komited memastikan hak ini terus dipertahankan seiring dengan Perlembagaan,” katanya.

Ewon turut menggesa masyarakat Orang Asal agar mengekalkan semangat kesatuan, kerjasama dan kebersamaan dalam memperjuangkan hak serta identiti mereka.

“Saya berbangga dengan dedikasi Momogun Nasional Congress (MNC) yang konsisten memperjuangkan aspirasi komuniti. Negara ini milik kita bersama, dan masyarakat Orang Asal mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan Malaysia.

“Mari kita bina sebuah Persekutuan yang lebih baik dengan menyemai sense of belonging dalam diri setiap warga,” ujarnya.

Karnival Momogun 2025 dianjurkan MNC dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, KUSKOP, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tenom.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.