Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tamu Desa Telupid Lonjak Ekonomi Desa, Perkukuh Ekosistem Keusahawanan – Ewon

0

Oleh Rosanna Edeza

TELUPID (Sabah, Malaysia), 21 Sept 2025 – Pembangunan Tamu Desa Pekan Telupid disifatkan sebagai pemangkin penting kepada transformasi ekonomi luar bandar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan desa yang lebih mampan dan berdaya saing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak yang dimulakan sejak 2024 bagi mempertingkat infrastruktur ekonomi rakyat luar bandar.

“Premis Tamu Desa bukan sekadar ruang berniaga. Ia merupakan pelantar ekonomi yang menghubungkan usahawan kecil dengan pasaran, membuka peluang pekerjaan, serta menggerakkan kitaran pendapatan di peringkat desa,” katanya ketika merasmikan Tamu Desa Pekan Telupid, hari ini.

Menurut Ewon, Fasa 1 tahun 2024 telah menyaksikan pelaksanaan 36 projek di Sabah dan 13 projek di Sarawak dengan kos RM8.69 juta, memberi manfaat langsung kepada 1,958 peniaga tamu. Sementara itu, Fasa 2 pula melibatkan 25 projek di Sabah bernilai RM4.84 juta dan 26 projek di Sarawak bernilai RM5.15 juta, yang berjaya memberi manfaat kepada 1,964 peniaga.

“Kejayaan ini menjadi asas kepada kesinambungan Fasa 3 tahun 2025 dengan peruntukan RM10 juta, termasuk projek di Telupid. Ini adalah pelaburan strategik yang dijangka memberi impak gandaan terhadap aktiviti ekonomi masyarakat desa,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa Tamu Desa berfungsi sebagai nadi pembangunan sosioekonomi luar bandar — bukan sahaja menyediakan infrastruktur lebih selesa dan moden, malah meningkatkan daya tarikan pasaran tempatan serta pelancongan domestik.

“Sebelum ini, premis tamu banyak yang daif dan tidak menepati piawaian asas. Melalui projek ini, kita menyediakan fasiliti yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan produktiviti peniaga, keyakinan pengguna dan kelestarian ekonomi tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ewon turut menyeru Persatuan Usahawan dan Peniaga Daerah Telupid untuk mengambil peranan lebih strategik dalam penyeliaan operasi Tamu Desa, agar kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara maksimum dan berpanjangan.

“Tamu Desa mesti dilihat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar yang digerakkan oleh rakyat sendiri. Kejayaannya akan menjadi ukuran sejauh mana komuniti desa dapat keluar daripada perangkap kemiskinan dan beralih kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.