Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Februari 2026 simbol keharmonian Malaysia, Ewon perkukuh perpaduan budaya di Penampang

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ Henry

PENAMPANG, Sabah | 7 Februari 2026 — Bulan Februari 2026 mencatat keunikan tersendiri dalam landskap sosial Malaysia apabila Ramadan bermula hanya dua hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina, diikuti dengan musim Lent bagi penganut Kristian, sekali gus menampilkan gambaran jelas keharmonian antara agama di sebuah negara majmuk yang terus dipelihara melalui sikap saling menghormati.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyifatkan pertembungan kalendar keagamaan dan kebudayaan itu sebagai refleksi kekuatan sebenar Malaysia — sebuah masyarakat yang mampu meraikan kepelbagaian kepercayaan, budaya dan tradisi dalam suasana aman, stabil dan saling memahami.

Selari dengan semangat tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan 22 kepala singa termasuk dua kepala naga kepada pelbagai persatuan dan kelab tarian singa di kawasan Parlimen Penampang sempena Tahun Baharu Cina 2026, sebagai usaha berterusan memelihara warisan kebudayaan masyarakat Cina serta memperkukuh perpaduan merentas kaum.

Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Pengangkutan, berkata sumbangan itu merupakan program tahunan yang dilaksanakan setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina. Pada tahun ini, selain sumbangan tersebut, sebuah kepala naga tambahan turut disumbangkan oleh seorang tokoh korporat tempatan di Penampang.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara buka mata singa dan naga, satu ritual simbolik penting dalam tradisi masyarakat Cina yang melambangkan keberkatan, semangat dan kesinambungan warisan budaya.

Menurut Ewon, inisiatif berkenaan mencerminkan peranan kepimpinan tempatan dalam memastikan tradisi kebudayaan terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang, sambil mengekalkan keharmonian sosial sebagai asas kestabilan masyarakat.

“Inilah wajah sebenar Penampang dan Sabah — kepelbagaian yang diraikan, dihormati dan dipertahankan. Walaupun berbeza latar belakang, kepercayaan dan pandangan politik, rakyat masih mampu hidup bersama secara aman, sesuatu yang tidak banyak negara di dunia mampu capai,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar mempertahankan kebudayaan dan tradisi sebagai jambatan perpaduan, sambil menegaskan bahawa perpecahan hanya akan menjejaskan keharmonian sosial serta kekuatan Persekutuan Malaysia.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.