
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) 27 Sept 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), menganjurkan International Empowering Leadership Conference 2.0 bertemakan Empowering the New Era of Leadership with Artificial Intelligence di Grand Ballroom, Shangri-La Tanjung Aru, baru-baru ini.

Persidangan antarabangsa selama dua hari itu menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin industri, pembuat dasar kerajaan serta wakil masyarakat untuk meneliti peranan kepimpinan dalam era kecerdasan buatan (AI). Antara syarikat teknologi global yang menyertai perbincangan ialah Huawei, Toyota, Aerodyne, Google Cloud dan Indah Water Konsortium.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan khasnya menegaskan komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem AI yang berteraskan etika, kelestarian dan keterangkuman. Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Scopus AI di semua 20 universiti awam, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Pasifik yang melaksanakan teknologi penyelidikan itu secara menyeluruh.
“The National AI Roadmap 2030 telah menggariskan visi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah AI Nation. Visi ini berteraskan kepada usaha memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, merangsang inovasi serta mendorong reformasi dalam sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.
Sepanjang persidangan, peserta diberi pendedahan kepada empat tonggak utama kepimpinan era AI iaitu budaya kepimpinan, teknologi, ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), serta kepimpinan beretika.
Dalam ucapan penutup, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, menegaskan bahawa kepimpinan adaptif adalah keperluan mendesak dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Dalam era perkembangan teknologi yang pesat, kepimpinan adaptif bukan sekadar reaktif tetapi proaktif, berpaksikan nilai dan berpandangan jauh. Keupayaan untuk mendengar, belajar dan memimpin dengan berkesan adalah kunci kejayaan.
Saya berharap persidangan ini menjadi pemangkin kepada idea baharu, kolaborasi rentas sempadan dan penerapan AI secara bertanggungjawab. UMS kekal komited untuk terus menjadi hab dialog, penyelidikan dan pembangunan kepimpinan melalui kerjasama strategik bersama AKEPT dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Turut hadir dalam persidangan itu ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.
![]()