Ewon Tegaskan Kerjasama Pejabat Daerah Kunci Kejayaan Projek Tamu Desa di Sabah
Tamu Desa dijangka siap sepenuhnya tahun ini sebagai model pembangunan luar bandar baharu Sabah

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 9 Oktober 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan Projek Tamu Desa (Tamu MADANI) di seluruh Sabah bergantung kepada komitmen menyeluruh pejabat-pejabat daerah sebagai agensi pelaksana utama di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, kerjasama rentas agensi yang mantap dan penyelarasan efisien di peringkat daerah merupakan faktor penentu bagi memastikan semua 46 projek Tamu Desa yang diluluskan bagi tahun ini disiapkan menjelang Disember 2025.
“Saya mahu semua 46 projek Tamu Desa di Sabah siap sepenuhnya dalam tahun ini.
KUSKOP menerima banyak permohonan baharu dan prestasi pelaksanaan tahun ini akan menjadi penentu kepada kelulusan peruntukan baharu bagi tahun hadapan,” kata Ewon.
Beliau menyampaikan penegasan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Projek Tamu Desa Sabah 2025 di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, malam Khamis.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, pegawai-pegawai kanan kementerian, wakil agensi pelaksana serta pegawai-pegawai daerah dari seluruh Sabah.
Menurut Ewon, Kementerian Kewangan Malaysia telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta pada 23 September lalu bagi pelaksanaan Program Penyelenggaraan Gerai-Gerai Kecil (Tamu MADANI) di Sabah untuk tahun 2025.
Peruntukan itu, jelas beliau, adalah kesinambungan kepada komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh ekonomi luar bandar Sabah melalui jaringan perdagangan mikro dan komuniti, seperti diumumkan semasa Program MADANI Rakyat Sabah pada Mei lalu.
“KUSKOP akan mengoptimumkan baki peruntukan sedia ada dan mempercepat kerja penyelenggaraan serta pembangunan Tamu MADANI agar semuanya siap dalam tahun ini.
Ini penting agar rakyat luar bandar Sabah dapat menikmati kemudahan ekonomi tempatan yang lebih selesa, bersih dan tersusun,” katanya.
Setakat ini, 46 tapak Tamu Desa (Tamu MADANI) telah dikenal pasti di seluruh Sabah bagi pelaksanaan tahun 2025.
Surat pelantikan sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer) telah diserahkan kepada pegawai daerah bagi 39 projek, manakala lima lagi surat pelantikan bagi daerah Ranau, Putatan, Sandakan, Keningau dan Telupid diserahkan pada mesyuarat malam tadi.
Program Tamu Desa yang diperkenalkan KUSKOP merupakan inisiatif pembangunan luar bandar berasaskan komuniti, bertujuan mewujudkan ruang ekonomi setempat yang teratur dan berdaya maju untuk usahawan mikro, petani, nelayan dan pengusaha kraftangan tempatan.
“Kehadiran semua pegawai daerah walaupun mesyuarat diadakan pada waktu malam mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen tinggi seluruh jentera pelaksana.
Ini menunjukkan kesungguhan kita memastikan pembangunan Tamu Desa di Sabah menjadi kenyataan,” ujar Ewon.
Dengan pelaksanaan menyeluruh menjelang hujung tahun ini, Program Tamu Desa dijangka menjadi model pembangunan ekonomi komuniti bersepadu di Sabah, mencerminkan pendekatan pembangunan MADANI yang menekankan kemampanan, penyertaan rakyat, dan kesejahteraan ekonomi luar bandar.
![]()