Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Krisis Solidariti Ekonomi KDM: Mengapa Bangsa Sendiri Gagal Menyokong Bangsa Sendiri?

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ Henry

SOOK, Sabah (Malaysia), 8 Mac 2026 – Lebih dua dekad meneliti sikap, pola pemikiran dan masa depan masyarakat KadazanDusun dan Murut (KDM) dalam bidang ekonomi kecil, satu persoalan mendalam terus menghantui: mengapa bangsanya sendiri masih gagal membina kekuatan ekonomi kolektif di tanah sendiri?

Persoalan ini bukan sekadar retorik emosi atau nostalgia budaya. Ia lahir daripada pemerhatian lapangan, pengalaman sosial, dan kajian berulang yang menyingkap pola sama: kegagalan solidariti ekonomi di kalangan masyarakat sendiri.

Dalam satu pemerhatian lapangan tidak formal, saya menemui dua gerai perniagaan sebaris. Kedua-duanya menawarkan produk hampir serupa: pisang goreng, mee goreng, minuman, dan kuih-muih tradisional. Harga dan lokasi hampir serupa.

Namun perbezaan utama tidak terletak pada produk, tetapi identiti peniaga. Gerai pertama diusahakan oleh seorang peniaga tempatan Dusun, manakala gerai kedua dikendalikan peniaga asing berketurunan Bugis.

Hasil jualan selepas 12 jam operasi memperlihatkan jurang mengejutkan: gerai Bugis mencatat RM500–RM600, sementara gerai Dusun hanya memperoleh sekitar RM20–RM30. Sebahagian besar makanan tidak terjual dan akhirnya disedekahkan.

Secara ekonomi, perbezaan ini bukan sekadar angka. Ia mencerminkan kegagalan sokongan sosial terhadap ekonomi komuniti sendiri. Peniaga Bugis menikmati sokongan kuat komuniti mereka, yang membeli, menyokong, dan secara tidak langsung menghidupkan jaringan ekonomi sesama mereka.

Fenomena ini sejajar dengan kajian sosiologi ekonomi global. Solidariti komuniti adalah faktor utama kejayaan ekonomi etnik: diaspora Cina di Asia Tenggara, komuniti Yahudi dalam sektor kewangan global, dan komuniti India dalam perdagangan sering menjadi contoh “ethnic economic networks” – jaringan ekonomi berasaskan kepercayaan dan solidariti.

Sebaliknya, peniaga Dusun jarang menerima sokongan setara. Malah, sebahagian masyarakat KDM lebih cenderung membeli daripada peniaga luar berbanding bangsanya sendiri. Situasi ini amat menyakitkan hati dan mencabar kesetiaan komuniti terhadap bangsa sendiri.

Pemerhatian lain turut menunjukkan bahawa individu KDM yang berkahwin dengan warga asing cenderung menyokong rangkaian ekonomi pasangan mereka. Wanita asing dalam beberapa kes mengambil peranan dominan, mengurus operasi, membina jaringan bekalan, dan mengembangkan pengaruh ekonomi keluarga. Tetapi ilmu dan pengalaman ini jarang disalurkan kembali kepada masyarakat tempatan, menyebabkan KDM terus berada di pinggir rantaian ekonomi yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Dominasi Ekonomi Dalam Sektor Mikro? Fenomena ini jelas di banyak kawasan Sabah: pasar malam, pasar tamu, dan rangkaian pemborongan hasil tani. Penguasaan ekonomi kecil dan sederhana sering didominasi oleh komuniti luar. Ironinya, peluang ekonomi ini wujud di kawasan majoriti KDM sendiri – desa, pedalaman, dan komuniti tempatan. Tanpa solidariti dalaman, peluang tersebut akhirnya dimanfaatkan oleh komuniti lain yang lebih bersatu dan berdisiplin.

Persoalan lebih sukar ialah peranan kepimpinan tempatan. Ahli politik dan jentera kawasan lebih menumpukan kepada survival politik jangka pendek berbanding pembangunan kapasiti ekonomi masyarakat. Program strategik – latihan keusahawanan, koperasi komuniti, pembangunan rangkaian bekalan – jarang dilaksanakan secara berterusan. Kuasa politik diperoleh melalui pilihan raya, tetapi jarang diterjemahkan menjadi strategi ekonomi berimpak panjang.

Akibatnya, masyarakat KDM terus bergantung kepada bantuan sementara, projek kecil, atau sokongan politik yang tidak membina kekuatan ekonomi sebenar. Padahal, potensi KDM sangat besar: pertanian, pelancongan desa, perniagaan makanan, logistik hasil tani, dan industri kecil.

Namun potensi ini hanya akan menjadi realiti jika wujud tiga perubahan asas, Kesedaran solidariti ekonomi komuniti, Kesatuan sosial dalam menyokong perniagaan sesama sendiri dan Kepimpinan yang memahami strategi pembangunan ekonomi masyarakat

Tanpa perubahan ini, KDM akan terus menjadi pemerhati dan pelanggan di tanah sendiri, sementara peluang ekonomi dimanfaatkan oleh komuniti lain yang lebih bersatu, strategik, dan berdisiplin.

Artikel ini bukan untuk menyalahkan sesiapa. Ia ditulis dengan cemas, simpati, dan tanggungjawab moral terhadap masa depan ekonomi masyarakat sendiri.

Persoalan sebenar bukan siapa yang patut dipersalahkan, tetapi: Adakah masyarakat KDM bersedia berubah, atau kita akan terus menyaksikan bangsa sendiri menjadi penonton dalam ekonomi tanah sendiri?

Fikirkan.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.