Abu Sayap culik warga Filipina
TAWAU (Sabah, Malaysia) – Kes culik di perairan Pom Pom Semporna sah, jelas Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
Komander itu memberitahu bahawa kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1.59 pagi pada Ahad.
Polis Sabah turut mengesahkan kejadian itu yang melibatkan tiga kru kapal nelayan, diculik tujuh lelaki bersenjata api.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun memberitahu, ketiga-tiga mangsa culik itu merupakan warga Filipina yang memiliki dokumen IMM13 serta surat banci Pasukan Petugas Khas.
Identiti ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an dan Masurin, 50-an.
“Ketika kejadian kapal nelayan yang dinaiki mangsa didatangi sebuah bot laju yang dinaiki tujuh lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol serta M16. Enam suspek telah menaiki kapal berkenaan dan mengarahkan semua anak kapal supaya meniarap di lantai… seorang lagi suspek menunggu di dalam bot laju itu. “Suspek kemudiannya menggeledah kapal nelayan itu, sebelum melarikan beg pakaian, telefon bimbit dan dompet milik beberapa anak kapal nelayan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Abdul Rashid berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut mengenai penculikan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.