AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook Datuk Ellro Alfred Angin berkata, ada keperluan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)di kawasan-kawasan yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat.
Katanya, pelanjutan tempoh PKP di kawasan-kawasan terbabit perlu bagi memastikan jangkitan virus itu dapat dikawal daripada terus merebak kepada masyarakat sekitarnya.
Sebaliknya Ellron meminta mana-mana kawasan yang bebas dari jangkitan COVID-19 dilonggarkan pergerakan masyarakat setempatnya bagi membolehkan mereka menjalankan urusan harian mereka.
Walau bagaimanapun katanya, laluan masuk dari kawasan-kawasan yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 yang paling tinggi seperti Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu perlulah dikawal ketat untuk masuk di kawasan Pedalaman dan beberapa daerah yang masih bebas dari kes jangkitan.
“Kita tidak mahu masyarakat dari kawasan atau daerah yang mempunyai kes COVID-19 yang paling tinggi apa lagi bagi kawasan yang telah diisytiharkan zon merah masuk di kawasan yang masih bebas jangkitan kerana dikhuatiri menjadi pembawa COVID-19” katanya selepas menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada seramai 98 ketua isi rumah di tiga buah kampung di kawasan Sook.
Tiga kampung berkenaan terdiri dari Kampung Tuaran Baru 50 penerima, Kampung Tinagalan Ulu (28)dan Kampung Tinagalan Laut (20).
Pada masa sama Ellron yang juga Timbalan Presiden Star Sabah berkata, bantuan makanan kepada penduduk kampung yang terkesan dengan PKP perlu diteruskan.
Beliau juga meminta kerajaan agar melihat penduduk khususnya golongan petani yang kehilangan pendapatan kerana tidak dapat menjual hasil pertanian mereka akibat PKP.