PRESIDEN Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony menafikan kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang juga dikenali sebagai budak nakal (naughty boy) dalam kabinet Sarawak bahawa kerajaan Sabah hanya mengamalkan sikap tunggu dan lihat berkenaan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebaliknya katanya, kerajaan negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, telah berusaha sejak kerajaan negeri baharu dibentuk dan memerintah negeri Sabah untuk memperjuangkan MA63.
Katanya, Masing yang sejak kebelakangan ini dilihat sentiasa mencari publisiti murahan dan cuba mencuri tumpuan rakyat Sarawak demi menutupi kelemahan pentadbiran partinya bagi menghadapi pilihan raya Negeri Sarawak.
Jelasnya, hubungan baik diantara kepimpinan utama peringkat kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sentiasa akrab dan tidak perlu dipersoalkan mahupun diusik.
Katanya, mungkin terdapat perbezaan pendekatan penyelasaian kemelut MA63 diantara kedua negeri tetapi isu ini tidak perlu dijadikan sebagai bahan untuk mencari populariti politik serta jangan rosakkan jalinan kekeluargaan diantara kedua negeri ini.
Peter menasihati beliau agar tidak menjadi alat atau barua oleh pihak tertentu untuk merosakkan hubungan akrab antara kedua negeri ini.
“Selama ini, tidak pernah pemimpin utama sama ada kerajaan negeri Sabah atau Sarawak mempersoalkan pentadbiran masing-masing.
“Kenyataan Masing ini merupakan titik hitam dalam sejarah pentadbiran negeri Sabah dan Sarawak, ini perlu dihentikan dengan segera dan Masing perlu memohon maaf kepada kerajaan negeri Sabah.
“Mengenai tuntutan hak petroleum, sebagai makluman Tan Sri Masing, Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh parti Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya meluluskan pindaan seksyen 4 Ordinan Tanah (bab 68) pada tahun 2018 untuk membolehkan negeri Sabah menuntut hasil atas dan dalam pelantar benua dalam takrifan baru.
“Dimana selama ini tuntutan hak hasil semula jadi agak terhad akibat Akta Pembangunan Petroleum yang ditandatangani pada tahun 1974, kerajaan terdahulu mungkin terlepas pandang hal yang penting ini selama 57 tahun.
“Kerajaan Negeri Sabah baru saja memulakan langkah ke arah menuntut hak mutlak negeri Sabah manakala Sarawak pula sudah lama bersedia dari sudut perundangan,” katanya ketika dihubungi, di sini kelmarin.
Katanya, selain itu kerajaan negeri Sabah juga telahpun berusaha memperjuangkan MA63 termasuk di Parlimen namun usaha Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan berkenaan MA63 tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen pada tahun lalu.
Katanya, satu Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 juga telah ditubuhkan yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan secara terperinci tuntutan MA63 dalam mencari kata putus dan persetujuan antara kerajaan Pusat, Sarawak dan Sabah.
jelasnya, perkara tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri Sabah dalam memperjuangkan MA63 dan menunjukkan kerajaan negeri Sabah begitu serius dan berusaha dalam memperjuangkan MA63.
“Datuk Seri Shafie sentiasa konsisten dengan pendiriannya untuk memperjuangkan hak-hak kami seperti yang diperuntukan di bawah MA63 termasuk pengenaan cukai jualan minyak dan gas, serta beliau turut konsisten membantu seluruh rakyat negeri Sabah tidak mengira ideologi politik, anutan agama dan tidak mengira kaum.
“Datuk Seri Shafie telah berdiri teguh di sepanjang beberapa mesyuarat MA63 di Putrajaya. Hakikat bahawa Sabah tidak membawa kesnya ke Mahkamah tidak semestinya bermakna ia ingin memihak kepada Putrajaya atau kekal dalam buku Putrajaya yang baik.
“Kita tidak sepatutnya dilihat seolah-olah terdapat perbalahan di dalam negara yang mampu mengancam kestabilan politik di negara ini.
“Masing mungkin terlupa dari kenyataannya kerana dia tidak pernahpun menjadi Ahli Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 yang akan membolehkannya melihat bagaimana kedua-dua Sabah dan Sarawak telah berjuang dengan begitu gigih dan kukuh untuk mempertahankan hak-hak kami supaya Kabinet akan turut bersetuju,” jelasnya.
Sebaliknya katanya, apa pula usaha dan tindakan PRS dalam memperjuangkan MA63, yang hanya tahu seperti ‘Anjing menyalak bukit’.
Tambahan pula katanya, PRS bekerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Barisan Nasional (BN) yang telah bersongkongkol untuk tidak menyokong atau berkecuali dalam Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen tahun lalu sehingga ianya tidak mencapai dua pertiga.
Ini kerana katanya, pendirian orang Sabah berlainan dengan pendirian PRS, dimana rakyat Sabah tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan pemimpin UMNO, BN yang sudah terbukti tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak khususnya berkenaan MA63.
“Sementara, PRS boleh menerima dan bekerjasama dengan mereka.
“Pendirian orang Sabah berprinsip, dan amat serius dalam menyelesaikan MA63 bersama-sama Ketua Menteri Sabah,” jelasnya.
Tambahnya, Datuk Seri Shafie juga akan terus membantu menjaga kebajikan seluruh rakyat negeri Sabah tidak mengira ideologi politik, anutan agama dan tidak mengira kaum.
Katanya, ini dibuktikan dengan peruntukan bantuan gereja yang diluluskan oleh beliau di beberapa daerah termasuk di St. Theresa Tambunan dan Gereja Holy Rosary Limbahau, Papar serta memberi cuti tambahan sehari sempena Krismas kepada rakyat negeri ini khususnya kepada penganut kristian untuk menyambut perayaan Krismas.
“Manakala, dari segi kebudayaan, Ketua Menteri Sabah juga telah memasukkan perayaan Pesta Kalimaran yang diraikan oleh kaum Murut dalam kalender kerajaan negeri Sabah, dimana belum pernah ada Ketua Menteri Sabah sebelum ini berbuat sedemikian,” jelasnya.