HARI ini dunia sedang berdepan dengan wabak virus paling serius COVID19 (penyakit virus corona 2019) dengan kadar kematian 3% dan penularan jangkitan purata 1 kepada 3 orang secara puratanya. Penularan wabak COVID19 ini bermula di pasar basah yang menjual pelbagai haiwan exotik termasuklah kelawar, tikus, ular dan sebagainya bertempat di bandar Wuhan, Wilayah Hubei Cina. Pengkaji percaya virus ini dibawa oleh kelawar dan telah menular kepada manusia. Virus ini menyerang sistem pernafasan paru-paru manusia menyebabkan deman, batuk, dan seterusnya masalah pernafasan yang kronik. Mereka yang dijangkiti rata-rata tidak mempunyai simptom dan tempoh inkubasi adalah sekitar 14 hari.
Setakat empat bulan pertama, wabak ini telah membunuh 42,309 dan menjangkiti 858,361 orang di seluruh dunia sehingga 31/03/2020. Peratusan kematian berbanding pesakit berada pada 20% manakala daripada jumlah keseluruhan yang sedang di rawat, 5% berada dalam keadaan kritikal. Penularan ini dilihat sedang memuncak dan bergerak dari satu negara ke satu negara lain bermula dengan negara Cina dengan 3,312 kematian, Itali 13,155 kematian, Korea Selatan 194, Sepanyol 9,387 kematian, Francis 4,032 kematian, Malaysia 45 kematian, Indonesia 157, Amerika Syarikat 5,109 kematian, Rusia 24 kematian, dan lain-lain negara. Penularan wabak COVID19 sedang mengulangi serangan virus influenza H1N1 pada tahun 1918-1920 yang digelar sebagai Spanish flu yang mengorbankan sekitar 20-50 juta orang.
Bertitik tolak bermula 11 Mac 2020 semasa pandemik diikhtisarkan oleh WHO dengan jumlah kematian mencecah angka 4,620 orang dan jangkitan sebanyak 126,124 orang, selepas 20 hari iaitu pada 01 April 2020 jumlah kematian meningkat mendadak kepada 47,192 orang dengan virus terus merebak ke seluruh dunia pada kadar eksponen. Jumlah jangkitan kini sebanyak 935,363 orang dan terus meningkat setiap hari. Jika keadaan ini berterusan tanpa langkah berkesan dapat dilakukan, adalah dijangkakan COVID19 mampu mengorbankan sehingga 12 juta orang pada akhir tahun 2020. Jumlah korban tinggi boleh berlaku sekiranya i) usaha penjarakan sosial dan kawalan pergerakan gagal dilakukan bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak seterusnya menyebabkan sistem rawatan perubatan lumpuh yang menyaksikan lengkung jangkitan naik dengan pantas, ii) vaksin pencegah dan ubat melawan penyakit lambat ditemukan, dan iii) tempoh serangan berlarutan panjang sehingga lebih setahun. Jumlah kematian dijangka akan menjadi jauh lebih besar atas faktor kemiskinan khususnya kemiskinan bandar yang mempunyai populasi padat penduduk. Kemiskinan serta sikap masyarakat adalah antara dua faktor utama yang boleh menggagalkan usaha penjarakan sosial dan pergerakan terhad.
Namun jika pemutusan rantaian dapat dilakukan pantas dan tahap jangkitan dapat dikawal pada tahap rendah menerusi pematuhan arahan penjarakan sosial, menghadkan pergerakan, sentiasa mengamalkan aspek kebersihan khususnya kerap mencuci tangan dengan sabun dan sentiasa memakai topeng penutup hidung dan mulut ketika berada di tempat awam, jumlah kematian tinggi boleh dielakkan. Penjarakan sosial dan pergerakan terhad serta menjaga kebersihan diri adalah satu-satunya pilihan yang ada ketika ini sebelum penawar wabak ditemui. Kaedah ini telah terbukti mampu mengawal jangkitan seperti apa yang telah dilakukan di St.Louis USA semasa berlaku pandemik Influenza pada tahun 1918 serta kes-kes pandemik sebelumnya.
Pemutusan rantaian jangkitan pantas juga akan dapat mengekang isu bekalan makanan terputus dan membantu negara mengurangkan gangguan ekonomi yang berpanjangan bagi mengelak masalah sosial memuncak jika pergerakan terhad terlalu panjang. Ini kerana kesan arahan pergerakan terhad menyebabkan pendapatan masyarakat terjejas dan pengeluaran makanan terganggu.
MEMBENDUNG PENULARAN WABAK:
Bagi mengekang penularan wabak COVID19, beberapa langkah dan kaedah sedang dicuba. Terdapat tiga cara membendung wabak bagi mengelak kematian terus meningkat; membendung penularan wabak, memberi rawatan kepada pesakit, dan menyuntik vaksin kepada orang ramai. Namun langkah melindungi menggunakan vaksin masih belum dapat dibuktikan berjaya.
Bagi tujuan membendung penularan wabak, para saintis perlu mengkaji bagaimana mekanisme wabak boleh tersebar kepada orang ramai. Terdapat dua kaedah sebaran umum COVID 19 diketahui; titisan batuk/bersin dan sentuhan tangan pada permukaan yang mengandungi virus seterusnya menyentuh mulut, hidung atau mata tanpa membersihkan tangan. Titisan makro terkeluar ketika batuk dan bersin boleh dielakkan jika kita mengamalkan penjarakan sosial melebihi 1 meter dan memakai penutup hidung dan mulut.
Satu lagi kemungkinan penyebaran adalah berdasarkan kajian terbaharu Profesor Kazuhiro Tateda, Presiden, the Japanese Association of Infectious Diseases dari Toho University, Jepan menerusi rakaman kamera berprestasi tinggi adalah titisan makro bersaiz 0.1 µm (1µm = 1 x 10-6 m) yang terkeluar semasa perbualan. Virus termasuklah COVID19 mempunyai saiz diameter antara 60-140 nm (1 nm = 1 x 10-9 m). Saiz virus yang kecil boleh berada di dalam titisan mikro untuk dijadikan sebagai agen sebaran lebih jauh menerusi udara melebihi jarak 1 meter, jarak yang dikatakan selamat daripada sebaran titisan makro batuk dan bersin. Kepekatan titisan mikro di udara akan meningkat di tempat yang mempunyai lembapan udara rendah khususnya di tempat berhawa dingin atau sejuk dan tertutup.
Berdasarkan mekanisme penyebaran COVID19 boleh berlaku menerusi titisan makro dan mikro disebabkan batuk, bersin dan percakapan, fakta sains ini memberi gambaran jelas pentingnya semua individu memakai penutup mulut dan hidung semasa berada di tempat awam misalnya semasa membeli barangan keperluan. Ini kerana titisan batuk, bersin, dan percakapan bersaiz makro dan mikro akan terhalang dari tersebar ke sekeliling oleh penutup muka bagi mengelak jangkitan kepada orang lain. Penggunaan penutup hidung dan mulut selain dapat menghalang sebaran titisan, ia juga akan mengurangkan potensi jari menyentuh hidung dan mulut memandangkan tangan merupakan bahagian yang kerap bersentuhan dengan permukaan yang mungkin tercemar dengan kuman dan virus pembawa penyakit.
Kajian perubatan juga sedang dijalankan bagi melihat keberkesanan beberapa jenis ubat yang boleh mengurangkan atau menghentikan kesan serangan COVID19 seperti radang paru-paru serta kemungkinan serangan berganda oleh kuman-kuman lain khususnya semasa antibodi mula dihasilkan dan melawan penyakit. Kesan serangan berganda ini boleh meningkatkan lagi kesan kerosakan terhadap sistem pernafasan yang mengakibatkan kematian. Antara ubat-ubatan tersebut adalah Chloroquine Phosphate, sejenis ubat malaria yang dikatakan boleh mengurangkan pneumonia. Selain itu gabungan Hydroxycholoroquine dan Azithromycin (Z-Pak) juga sedang di uji di beberapa negara termasuk USA dan Malaysia. Beberapa jenis ubat-ubatan lain daripada negara Cina dan Korea Selatan juga sedang diuji secara klinikal.
Dalam pembangunan vaksin, sehingga kini sekitar 35 syarikat dan institusi akademik sedang berlumba-lumba membangun vaksin sedemikian, sekurang-kurangnya empat daripadanya sudah menemui vaksin yang telah diuji pada haiwan. Firma bioteknologi Moderna yang berpangkalan di Boston adalah antara yang terawal dan mereka kini memasuki fasa percubaan terhadap manusia dengan kadar segera. Malah syarikat tembakau Benson & Hedges beberapa hari lepas juga dikatakan telah membangunkan vaksin yang diperbuat daripada pokok tembakau dan kini sedang menjalankan ujian terhadap binatang.
Satu lagi aspek yang amat diperlukan adalah bagaimana dapat mengesan dengan pantas dan tepat dengan tahap keyakinan ketepatan ujian yang tinggi bagi seseorang yang dijangkiti oleh COVID19. Dua asas buat masa ini dijadikan asas untuk di uji iaitu dengan menguji kehadiran virus atau melihat kehadiran antibodi pada badan pesakit.
Kaedah tepat yang digunakan sekarang adalah menerusi ujian makmal menerusi rantaian tindakbalas polimerase (PCR) yang mengambil masa beberapa hari sebelum keputusan diperolehi. Ujian menunjukkan menerusi real time RT-PCR mengikut ThermoFisher Scinetific mengambil masa beberapa jam untuk disiapkan. Tempoh ini dianggap terlalu lama dibandingkan dengan jumlah mereka yang perlu melalui ujian. Isu lain adalah RT-PCR mengesan hanya jangkitan aktif. Sekiranya seseorang sebelum menghidapi coronavirus dan telah pulih, RT-PCR tidak akan mengesannya. Beberapa syarikat dan institusi-institusi penyelidikan juga sedang membangun kit saringan pantas dan sesetengahnya telah menyatakan ujian dapat dilakukan dalam tempoh 5 minit.
PENGAJARAN DARIPADA WABAK CONVID 19:
Penularan wabak COVID19 ini jelas menunjukan negara-negara maju di dunia telah gagal meramal dengan betul tentang ancaman sebenar manusia. Sebelum ini mereka terlalu sibuk dan ghairah serta khuatir tentang ancaman senjata nuklear yang mungkin tercetus sehingga gagal menumpukan kepada aspek kemungkinan penularan virus yang hampir serupa pernah menyerang manusia sebelum ini. Penyebaran wabak CONVID19 nyata menunjukkan dunia tidak bersedia sehingga begitu mudah menerobos benteng pertahanan perubatan dunia yang dikatakan termoden dan termaju khususnya negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.
Kini wabak virus COVID19 ini telah menggoncang hebat aspek ekonomi dan sosial masyarakat. Dua aspek ini boleh menjadi mangkin pembunuh tidak langsung kepada manusia disebabkan oleh kemiskinan dan kekurangan makanan yang akan menggagalkan usaha penjarakan sosial. Sekali lagi ketamadunan manusia sedang tercabar dan setakat ini negara maju masih gagal membendung isu. Ini memberi gambaran bahawa manusia masih gagal mempelajari sejarah serangan virus influenza khususnya Spanish Flu (selsema) H1N1 pada tahun 1918-1920 serta beberapa siri serangan wabak selsema virus Influenza H2N2 atau Asian Flu pada tahun 1956-1958 yang membunuh sekitar 2 juta orang, dan Hong Kong Flu pada tahun 1968 disebabkan oleh virus Influenza H3N2 yang membunuh sekitar 1 juta orang.
Berdasarkan apa yang berlaku pada hari ini, dengan pertumbuhan populasi manusia dunia mencecah angka 8 bilion orang serta corak persaingan yang semakin memuncak, manusia seakan-akan sudah terlupa bertapa pentingnya aspek kebersihan diri dan pembangunan sosial dan moral secara menyeluruh. Kepimpinan juga perlu berfikir lebih matang dan sentiasa berada di hadapan dalam mendepani cabaran dunia, bukannya menumpukan kepada perebutan kuasa dan mendapatkan kekayaan semata-mata. Manusia mesti sedar untuk tidak terlalu taasub dengan kejayaan sains dan teknologi yang ada pada hari ini. Kemungkinan serangan penyakit berakhir dan berulang semula dalam skala berbeza tidak boleh dinafikan, semuanya atas kehendak Allah pencipta seisi alam. Allah lebih mengetahui apa yang sedang berlaku. Bagi kita, anggaplah Tuhan sedang membersihkan dunia ini dari kekotoran yang sudah terlalu lama berlaku; kekotoran zahir menerusi pencemaran alam sekitar dan kekotoran batin dari aspek hubungan sosial sesama manusia yang semakin jauh terpesong daripada fitrah manusia. — ROSALAM HJ. SARBATLY, Sepanggar Sabah (02/04/2020)