Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Agong perkenan lantik Ismail Sabri PM ke-9

0

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Portal The Borneo Digest menerbitkan ramalan tepat mengenai perlantikan itu, sebaik mantan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Istiadat Perngurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijadualkan pada 21 Ogos (Sabtu) pada jam 2.30 petang di Istana Negara.

Menurut Ahmad Fadzil Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021 lalu.

Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

“Susulan itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara,”  katanya.

Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan Perbincangan Khas petang tadi (Khamis).

Inti pati perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang itu, terarah kepada perlantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri, selaras Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Perbincangan petang ini diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas, semalam.

 216 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.