Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Mulai esok berniaga pasar malam, minggu, berkelah dan berkhemah dibenarkan

0
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memberikan beberapa kelonggaran terhadap beberapa sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 bermula esok.

Antaranya termasuk aktiviti dine-in atau makan di kedai dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya.

Aktiviti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya juga dibenarkan. Turut dibenarkan aktiviti perkelahan dan perkhemahan.

Selain itu operasi perniagaan pasar malam dan pasar minggu juga dibenarkan.

Perdana Menteri (sementara) Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang mempengerusikan sidang khas itu berkata, kelonggaran tersebut diberikan berikutan perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus.

Jelasnya, pencapaian tersebut adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu pada 31 Ogos.

“Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus,” kata Muhyiddin.

Bagi aktiviti dine-in, Muhyiddin menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in perlu memastikan anak-anak mematuhi SOP yang ketat.

Selain itu, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

Bagi operasi pasar malam dan pasar minggu, pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19  bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

 

 

 

 

 652 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.