Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Agong perkenan lantik Tun M Perdana Menteri Interim

0

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Baginda turut berkenan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk,” kata Mohd. Zuki dalam satu kenyataan.

Mohd Zuki turut memberitahu dalam satu kenyataan berasingan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan Menteri-Menteri atas nasihat YAB Perdana Menteri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan YAB Perdana Menteri.

Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama.

 675 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.