MANILA: Ahli kumpulan ajaran sesat Socorro Bayanihan Services Inc (SBSI) yang bawah umur di Filipina didakwa dipaksa berkahwin dan melakukan hubungan seks dengan pasangan dewasa dengan alasan ia sebagai ‘peraturan ke syurga’.
Perkara itu didedahkan ketika siasatan Jawatankuasa Senat Filipina mengenai peraturan awam dan dadah berbahaya, ekoran tuduhan terhadap ketua kumpulan ajaran sesat berkenaan, Jey Rence Quilario yang juga dikenali sebagai ‘Senior Agila’.
Menurut seorang bekas ahli berusia 15 tahun, pergerakan itu didakwa diketuai oleh ‘Senior Agila’ yang berpangkalan di Surigao del Norte.
Gadis yang dikenali sebagai Jane itu memaklumkan, ketika dia berusia 14 tahun, dia dipaksa berkahwin dan tidur dengan lelaki berusia 18 tahun yang tidak dikenalinya.
Katanya, Quilario yang menjodohkan dia dengan lelaki tersebut.
“Setiausaha kumpulan akan membuat senarai ahli yang bujang dengan kanak-kanak perempuan seawal usia 12 tahun dan lelaki sekurang-kurangnya 18 tahun.
“Daripada senarai itu, Quilario akan memilih ‘pasangan yang diluluskan oleh tuhan’.
“Anda tidak boleh katakan tidak kerana Quilario memberitahu pasangan tersebut adalah yang ditetapkan tuhan,” katanya.
Selain itu, menerusi sesi pendengaran awam, Jane yang berbahasa Bisaya memberitahu, Quilario mewajibkan setiap ahli untuk mempunyai pasangan dan melakukan seks dengannya selepas berkahwin.
“Quilario kata, selepas berkahwin, lelaki boleh meniduri isteri mereka secara rela atau paksa demi tuntutan tuhan.
“Lebih menjijikkan, kanak-kanak perempuan juga dipaksa melakukan hubungan seks dengan lelaki dalam masa tiga hari atau mereka akan dipanggil ‘adios’.
“Mana-mana ahli yang melakukan ‘adios’ akan dikenakan pelbagai hukuman bergantung kepada arahan Quilario dan antara hukuman tersebut adalah dipukul dengan dayung serta dikurung dalam ‘lubang musang’,” ujar Jane.
Selain itu, Quilario juga memutarkan permainan seperti roulette untuk menentukan hukuman yang perlu diberikan kepada ahli yang tidak taat.