Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Anak Raja Bollywood Dihadapkan ke mahkamah

Dakwaan pengambilan dadah

0

ARYAN Khan, anak lelaki kepada Raja Bollywood, Shah Rukh Khan, dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam atas dakwaan pengambilan dadah.

Lapor The Times of India, Biro Kawalan Narkotik (NCB) menahan lapan individu termasuk Aryan, 23, dalam satu serbuan parti di atas kapal persiaran Cordelia yang menuju dari Mumbai ke Goa.

Dalam serbuan tersebut, NCB merampas sebanyak 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methylenedioxy­methamphetamine (MDMA), 5 gram dadah jenis mephedrone (MD) dan lebih 1.3 lakh rupee (RM7,315) wang tunai.

Aryan bersama dua rakannya iaitu pelakon filem, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamecha direman dalam tahanan NCB.

Dilaporkan, Munmun merupakan anak perempuan kepada ahli perniagaan dari Madhya Pradesh manakala Arbaz pula anak kepada pengusaha industri perkayuan.

Lima lagi individu yang ditahan merupakan Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jais­wal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.

Terdahulu, dalam permohonan reman bagi mendapatkan hak penjagaan untuk Aryan, Arbaz dan Munmun, NCB memaklumkan, ketiga-tiga individu itu ditahan atas dakwaan pengambilan, membeli dan menjual barang kontraban yang boleh dihukum di bawah Akta Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985.

Bagaimanapun seorang pegawai memberitahu, Aryan hanya didakwa atas pengambilan dadah narkotik atau bahan psikotropik di bawah Seksyen 27 Akta NDPS yang menjatuhkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga 20,000 rupee (RM1,124).

Menurut pegawai NCB, pihaknya tidak menemukan sebarang barang kontraban dari Aryan namun menjumpai sejumlah kecil charas dalam kasut Arbaz.

Jelas NCB, kedua-dua individu itu berkongsi bilik di kapal persiaran tersebut.

Sementara itu, peguam­bela Aryan, Satish Maneshinde berkata, Aryan dijemput oleh pihak penganjur sebagai tetamu jemputan khas.

“Aryan tidak mempunyai pas masuk, tiada nombor tempat duduk atau kabin yang diperuntukkan,” katanya.

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.