Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Arsenal 100 peratus pencabar utama kejuaraan Liga Perdana

0

LONDON: Bintang tengah West Ham, Declan Rice percaya, ­Arsenal mampu memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas pasukannya tewas 3-1 kepada Gunners semalam.

Skuad kendalian Mikel Arteta melebarkan kedudukan pendahulu liga kepada tujuh mata mengatasi Newcastle dengan melakar kemenangan pada hari pertama liga bersambung selepas rehat Piala Dunia.

Kelab London itu merupakan pemilik 13 kejuaraan liga utama England tetapi tidak pernah ­memenangi kejuaraan sejak kali terakhir pada musim 2003-2004.
Ketika ditanya sama ada ­Arsenal boleh melepasi ‘ranjau’ sepanjang perjalanan, Rice berkata: “100 peratus.

“Mereka pasukan terbaik yang anda boleh lihat, mereka dilatih dengan sa­ngat baik, mempunyai banyak bakat ­menyerang. Skuad muda mereka boleh pergi jauh.”

Anak-anak buah Mikel Arteta kini melakar 10 kemena­ngan berturut-turut di laman sendiri biarpun beraksi tanpa ­penyerang utama, Gabriel Jesus akibat kecederaan lutut.

“Arsenal memberi kesukaran kepada kami. Pada separuh masa pertama kami cuba sedaya upaya untuk menghalang mereka, menguasai permainan dan bertahan dengan baik.

“Bagaimanapun kami gagal bertahan selama 90 minit ­kerana kami menentang pasukan terbaik di England ketika ini.

“Situasinya sama seperti ketika melawan Manchester City. Kami tidak dapat naik ke atas, mereka menyekat semua gerakan dan usaha yang cuba dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Arteta memuji prestasi Gunners yang tetap menunjukkan ketenangan ­biarpun ketinggalan 0-1.

Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli mengubah rentak permainan Arsenal hanya lima minit selepas separuh masa kedua bersambung sebelum ­Eddie Nketiah menyempurnakan gol ketiga untuk memberi tiga mata berharga.

Skuad Hammers mengejutkan Arsenal apabila mendahulu pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti Said Benrahma.

“Kami menunjukkan ketenangan dan tidak panik. ­Pemain melakukan apa yang perlu untuk mendapatkan kemenangan.

“Kami menjaringkan gol pada masa yang tepat dan penonton juga luar biasa pada saat kami dibolosi.

“Mereka terus percaya. Apabila kami menjaringkan gol pasukan menjadi kuat dan kami mendapat momentum yang diperlukan,” kata Arteta.

Selain Jesus, Arteta juga tidak menurunkan bintangnya yang beraksi dalam Piala Dunia di ­Qatar, William Saliba kerana dia baru kembali lapan hari selepas menjadi

sebahagian skuad Perancis yang tewas kepada Argentina di pentas akhir.

City boleh kembali merapatkan jurang dan memintas ­Newcastle di kedudukan kedua liga sekiranya juara bertahan itu menewaskan Leeds United esok. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.