
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Floyd Mayweather Jr dan Manny Pacquiao akan bertemu dalam pertarungan ulangan yang dinanti-nantikan bagi pertembungan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah tinju pada September depan di Sphere, Las Vegas, umum Netflix awal pagi tadi.
Pertarungan antara dua nama terbesar tinju dunia itu – yang sebelum ini bertarung dalam aksi sensasi pada tahun 2015 dan kini kedua-duanya sudah menghampiri usia lewat 40-an – diumumkan beberapa hari selepas Mayweather mengesahkan dia kembali daripada persaraan.
Perlawanan itu akan disiarkan secara langsung pada 19 September di Netflix, ketika platform penstriman global itu semakin aktif menampilkan acara sukan secara langsung berskala besar.
“Floyd dan saya pernah memberikan dunia pertarungan terbesar dalam sejarah tinju. Peminat sudah menunggu terlalu lama – mereka berhak menyaksikan ulangan ini,” kata Pacquiao, 47, dalam satu kenyataan bersama.
Mayweather menewaskan Pacquiao dalam kategori welterweight pada pertarungan 2015 yang digelar “Fight of the Century”, yang mencatat rekod 4.6 juta langganan tontonan berbayar, namun tidak sepenuhnya menepati jangkaan ramai.
Mayweather dipercayai meraih kira-kira AS$300 juta (RM1.17 bilion) hasil kemenangan menerusi kiraan mata ke atas ikon Filipina itu, yang kekal sebagai pertarungan paling lumayan dalam sejarah dengan jumlah pendapatan melebihi AS$600 juta (RM2.34 bilion).
Bekas juara dunia pelbagai kategori, Mayweather bersara daripada tinju pada 2017 dengan rekod tanpa kalah dalam 50 pertarungan, namun dia masih tampil dalam beberapa perlawanan pertunjukan termasuk aksi yang dijadualkan menentang Mike Tyson pada musim bunga ini.
Pacquiao yang juga bekas juara dunia pelbagai kategori, bersara selama empat tahun bermula 2021 ketika dia bertanding dalam pilihan raya Presiden Filipina namun tewas.
Dia kembali bertarung tahun lalu dan seri dengan Mario Barrios di Las Vegas.
Khabar angin mengenai pertarungan ulangan Mayweather-Pacquiao sudah lama tersebar dan spekulasi semakin memuncak selepas Mayweather minggu lalu mengumumkan akan kembali ke arena profesional tahun ini.
Pertarungan itu juga bakal menjadi perlawanan tinju profesional pertama diadakan di Sphere, venue yang sebelum ini lebih banyak digunakan untuk konsert dan tayangan filem sejak dibuka pada 2023, dengan skrin melengkung gergasi seluas 160,000 kaki persegi di bahagian dalamannya.
“Saya mahu Floyd hidup dengan satu kekalahan dalam rekod profesionalnya dan sentiasa ingat siapa yang memberikannya,” kata Pacquiao dalam kenyataan itu.
“Seperti biasa, saya dedikasikan pertarungan ini kepada rakyat Filipina di seluruh dunia dan untuk membawa kegemilangan kepada Filipina.”
Mayweather pula berkata: “Saya sudah pernah bertarung dan menewaskan Manny sebelum ini. Kali ini keputusannya akan tetap sama.” – AFP
![]()