Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon sampaikan insentif kepada atlet SAGA Penampang

0

PENAMPANG, 23 Disember 2025 — Kejayaan atlet Penampang di pentas Sabah Games (SAGA) 2025 terus diberi pengiktirafan apabila Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan insentif dan penghargaan kepada atlet, jurulatih, pengurus serta urusetia pasukan daerah itu atas pencapaian cemerlang mereka di Tawau, Oktober lalu.

Pasukan SAGA Penampang mencatat prestasi membanggakan dengan meraih 45 pingat keseluruhan, sekali gus mengukuhkan kedudukan daerah itu sebagai antara penyumbang utama kejayaan kontinjen Sabah.

Setiap atlet menerima insentif tunai sebanyak RM1,000 bagi pingat emas, RM700 bagi pingat perak dan RM500 bagi pingat gangsa, hasil sumbangan para pemimpin dalam kawasan Parlimen Penampang dan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Penampang.

Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata pemberian insentif itu adalah tanda penghargaan kepada komitmen, disiplin dan pengorbanan atlet serta barisan sokongan yang terlibat.

“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya berharap insentif ini dapat terus membakar semangat para atlet, jurulatih dan pengurus untuk terus mengharumkan nama Penampang dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan pihak yang tampil menyokong pasukan SAGA Penampang, sambil menyifatkan kejayaan kutipan pingat itu sebagai pemangkin motivasi kepada pasukan lain yang bakal menyertai kejohanan sukan akan datang.

Menurutnya, pencapaian tersebut juga menjadi dorongan awal menjelang penganjuran SAGA seterusnya di Sandakan, dengan sasaran untuk mengekalkan atau meningkatkan prestasi semasa.

Pada masa sama, Ewon menegaskan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur sukan di Penampang, susulan maklum balas yang diterima daripada jurulatih dan pengurus beberapa sukan termasuk karate, taekwondo, bola keranjang dan badminton.

Beliau berkata, kekurangan dewan masyarakat yang selamat dan berfungsi telah menjejaskan kelancaran latihan, khususnya bagi sukan yang memerlukan ruang tertutup dan kemudahan khusus.

“Isu ini akan saya bawa ke peringkat perbincangan tindakan daerah untuk perhatian dan penyelesaian lanjut,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan kemudahan sukan bukan sahaja menyokong pembangunan atlet tempatan, malah akan meletakkan Penampang dalam kedudukan lebih bersedia untuk menjadi tuan rumah SAGA atau kejohanan sukan lain pada masa hadapan.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.