TINDAKAN Kerajaan Negeri Sabah yang telah mengarahkan penutupan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memberi kesan yang buruk kepada Industri Sawit di negeri itu, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Eonomi) Arthur Jose[h Kurup.
Katanya, Kerajaan Persekutuan dalam Majlis Keselamatan Negara telah memutuskan sejak awal perlaksanaan PKP untuk membenarkan beberapa industri yang penting seperti pertanian, perikanan dan sektor makanan untuk terus beroperasi.
Jelasnya, ini termasuk rantaian bekalan yang berkaitan dengan industri tersebut termasuk pusat pembelian serta operasi ladang dan kilang.
“Namun demikian, Kerajaan Negeri Sabah menggunakan kuasa yang ada di bawah pentadbiran Majlis Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengarahkan penutupan industri seperti ini.
Contohnya, Kerajaan Persekutuan juga membenarkan FAMA untuk terus beroperasi untuk membeli hasil tanaman orang kampung seperti sayur, buah-buahan dan makanan tetapi pusat pembelian FAMA diarah tutup oleh kerajaan Negeri.
Ini juga berlaku kepada pusat pembelian getah.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, akibat penutupan beberapa industri ini, ramai pekebun akan mengalami kerugian yang besar.
Industri sawit pula jelasnya, ianya akan menjejaskan lebih daripada 75% pengeluaran minyak sawit di Negeri Sabah dan menyebabkan hampir 100,000 orang hilang pekerjaan.
“Apabila rakyat hilang pekerjaan mereka akan hilang sumber pendapatan dan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Sabah” katanya.
Tambahnya, hal ini juga akan menyebabkan sumber makanan asas seperti minyak masak dan hasil daripada industri sawit, getah dan lain juga akan turut berkurangan.
“Kita faham keperluan mengambil langkah untuk mencegah penyebaran wabak Covid-19. Namun kita juga perlu mengimbangkan ini dengan keperluan ekonomi kita, termasuk keperluan orang untuk mencari pendapatan” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, industri yang dibenarkan beroperasi mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan pekerja selamat dari jangkitan wabak Covid-19.
“Justeru saya merayu kepada Kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk membenarkan semua pusat operasi dan ladang sawit serta industri yang lain seperti pertanian dan makanan untuk dibenarkan beroperasi demi kelangsungan ekonomi negeri Sabah” katanya.