TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup, menyambut baik langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Beliau menyifatkan langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut sangat menyeluruh, bertepatan dan amat diperlukan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana bagi mengekalkan kestabilan ekonomi di tengah-tengah situasi COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Suntikan tambahan berjumlah RM10 bilion daripada pakej rangsangan itu akan dapat membantu PKS untuk terus beroperasi walaupun terpaksa menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang cukup hebat dalam tempoh sukar ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Melalui inisiatif tambahan seperti program subsidi upah, geran khas PRIHATIN, pemansuhan kadar faedah Skim Mikro Kredit akan dapat membantu PKS untuk mengekalkan pekerja mereka. Kita tidak mahu ada dikalangan rakyat yang hilang pekerjaan dalam tempoh ini. Jika hilang pekerjaan sudah tentu mereka akan hilang sumber pendapatan dan ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara” katanya.
“Antara yang menjadi cabaran utama Kerajaan khususnya di kluster ekonomi adalah untuk seimbangkan kepentingan ekonomi negara dengan keselamatan dan nyawa rakyat.
Justeru saya berharap agar masyarakat dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjarakan sosial dalam kita mengekang COVID-19” jelasnya.
Beliau berkata, Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan semalam merupakan langkah tambahan bagi Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang telah diumumkan pada minggu lalu.
Ini katanya, menunjukkan bahawa Kerajaan amat prihatin dan mengambil berat kepada semua pihak bukan sahaja individu malah kepada mereka yang turut menyediakan peluang pekerjaan.
Beliau berharap agar langkah tambahan Pakej Ransangan Ekonomi ini juga akan dapat membantu PKS di Sabah dan Sarawak yang banyak terlibat dalam aktiviti perniagaan seperti usahawan kampung, usahawan kraf dan peniaga kecil yang sangat terkesan akibat COVID-19.
“Dalam era perniagaan moden yang mencabar pada masa kini, adalah penting untuk PKS terus kekal berdaya saing serta berkembang maju bagi menjana kemajuan ekonomi negara,” tambahnya.
Menurut sumber Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2018, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM521.7 bilion atau 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).