Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

AS dakwa Iran bantu Houthi serang kapal di Laut Merah

0

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa Iran terbabit dalam serangan terhadap kapal-kapal komersial yang dilakukan oleh kumpulan Houthi.

White House menyatakan, AS kini mempertimbang tindak-balas yang lebih keras termasuk tindakan ketenteraan jika situasi semakin meruncing.

Majlis Keselamatan Negara AS mengumumkan risikan mereka bahawa Iran membantu serangan ke atas kapal berkaitan Israel sebagai sokongan Houthi ke pejuang Hamas.

AS mendakwa Iran membekalkan dron dan peluru berpandu kepada kumpulan Houthi, selain menyalurkan maklumat risikan taktikal.

“Kami tahu Iran terbabit secara rapat dalam merancang operasi terhadap kapal komersial di Laut Merah,” kata Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adrienne Watson.

Kumpulan Houthi yang mengawal sebahagian besar Yaman termasuk ibu kota Sanaa, melancarkan lebih 100 serangan dron dan peluru berpandu dengan menyasarkan 10 kapal dagang, menurut Kementerian Pertahanan AS.

Serangan itu mengakibatkan aliran trafik komersial semakin terganggu, dan AS baru-baru ini mengumumkan pasukan petugas tentera laut daripada 20 negara akan melindungi kapal di Laut Merah.

Untuk menunjukkan kekuatan, kapal pengangkut pesawat AS USS Dwight D Eisenhower memasuki Teluk Aden, dengan beberapa laporan berita mengatakan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden sedang menimbang serangan, jika gangguan ke atas kapal itu berterusan.

Pada Rabu lalu, pemimpin Houthi, Abdel-Malek al-Houthi memberi amaran sekiranya pihaknya diserang, pemberontak akan menyerang balik ‘kapal perang AS dan kepentingannya’.

Dalam pada itu, analisis visual AS menemukan ciri yang hampir sama di antara dron KAS-04 Iran dan kenderaan tanpa pemandu yang dilancarkan oleh Houthi, serta ciri persamaan antara peluru berpandu Iran dan Houthi.

White House memaklumkan, kumpulan Houthi juga bergantung kepada sistem pemantauan yang disediakan oleh Iran di laut. – AFP

 

 291 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.