Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Asnaf Keningau, Tenom dan Pensiangan terima simpanan akaun SSPN-i

0

KENINGAU (Sabah, Malaysia):  Seramai 120 anak-anak asnaf di kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan masing-masing 40 orang bagi satu kawasan Parlimen


Senator Ghani menyampaikan replika sumbangan pembukaan kepada salah seorang murid yang mendapat sumbangan itu. Turut kelihatan Wan Saiful (dua dari kanan), Robert (dua dari kiri) dan Azman (kiri).

akan menerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i berjumlah RM12,000 melalui peruntukan dana CSR PTPTN. 

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Ghani Datuk Hj. Mohd Yassin berkata, setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. 

Katanya, selain untuk membantu golongan asnaf yang terlibat, ini merupakan satu bentuk galakan untuk memulakan penabungan. 

“Kita berterima kasih kepada PTPTN atas sumbangan ini. Amatlah diharapkan, ibu bapa menjadikan sumbangan tersebut sebagai titik permulaan untuk terus menabung  demi masa depan anak-anak mereka” katanya semasa berucap merasmikan Jelajah SSPN 2019 Peringkat Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II di sini.

Ghani yang juga Ketua Penaja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Keningau berkata, sehingga 31 Julai 2019, sebanyak 4.2 juta akaun SSPN telah dibuka dengan simpanan berjumlah RM5.0 bilion di seluruh negara.

Ini katanya, termasuk sebanyak 211,354 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM133.5 juta. Jumlah bilangan akaun ini hanyalah 20% daripada 1 juta warganegara di Sabah yang berumur 19 tahun dan ke bawah di Sabah.

“Daripada jumlah itu sebanyak 19,109 akaun dengan deposit berjumlah RM7.9 juta adalah bagi Parlimen Keningau, Tenom Dan Pensiangan. Statistik bagi pembukaan akaun dan simpanan di peringkat Negeri dan Parlimen adalah merupakan satu angka yang kecil. Saya menyeru agar ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan memulakan langkah penabungan pada hari ini”  katanya.

Apa yang penting katanya, adalah amalan penabungan yang berterusan bermula dari awal kerana sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit; bersusah-susah pada masa ini untuk menabung, bersenang-senang kemudian apabila anak-anak akan ke menara gading.

Ghani berkata, usaha proaktif PTPTN dalam mengubah budaya dan amalan masyarakat Malaysia kepada budaya membuat penabungan untuk pendidikan merupakan suatu tindakan yang amat murni dan perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Sudah sampai masanya untuk masyarakat mengubah tanggapan dan persepsi, daripada meminjam kepada membuat simpanan sendiri untuk tujuan pendidikan tinggi. 

Dalam masa yang sama Ghani menyeru kepada semua agensi dan jabatan Kerajaan termasuk sekolah dan agensi swasta di daerah Sipitang ini untuk memberi laluan kepada PTPTN bagi mengadakan sebarang bentuk program kempen penabungan di organisasi masing-masing. 

Ini katanya, kerana peluang harus diberikan kepada semua kakitangan untuk memiliki akaun SSPN yang mempunyai banyak manafaat. 

“Selain itu, SSPN juga boleh menjadi pilihan utama bagi pelbagai organisasi sebagai insentif atau hadiah bagi program-program yang diadakan,”

“Ini kerana banyak keistimewaan skim ini yang dapat dinikmati oleh ibu bapa sebagai pendeposit seperti dividen yang kompetitif, pelepasan cukai dan selain meningkatkan kesedaran dikalangan ibu bapa  untuk membuat perancangan awal kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak,”

“.. Memastikan pelajar-pelajar dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mempunyai masalah kewangan kerana telah mempunyai tabungan masa depan serta mengingatkan bahawa penabungan dari awal adalah penting bagi keperluan masa depan berbanding membuat pinjaman pendidikan dan memberi motivasi dan sebagai pencetus untuk ibu bapa melakukan penabungan secara konsisten kerana SSPN mempunyai banyak keistimewaan yang disediakan oleh Kerajaan” jelasnya.

Hadir sama ADUN Bingkor Robert Tawik, Pengerusi  PTPTN Wan Saiful Wan Jan, Ketua Bahagian Penaja Bersatu Keningaua Azman Haji Ruslan dan Pegawai-Pegawai Kanan Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.