Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

ASRS berjaya tingkat produktiviti

0

RAWANG (Selangor): Automated Storage and Retrieval System (ASRS) berjaya meningkatkan produktiviti syarikat Ingress AOI Technologies Sdn.Bhd.

Syarikat itu adalah penerima Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) dibawah Program Pembangunan Vendor (PPV), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi industri automotif.

GIPV merupakan bantuan dalam bentuk geran bagi merangsang pertumbuhan dan kejayaan inovasi oleh syarikat vendor Bumiputera dengan meningkatkan tahap penyelidikan dan pengkomersialan dalam operasi pembuatan dan pengurusan perkhidmatan untuk menjadi lebih kompetitif.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, syarikat itu menerima geran sebanyak RM1 juta di bawah GIPV untuk pembangunan ASRS.

“Dengan inovasi baharu ini, mereka telah meningkatkan kecekapan dan ruang dalam bangunan ini sebanyak 71 peratus, mengurangkan kebergantungan guna tenaga kepada 64 peratus dan meningkatkan kadar operasi kepada 95 peratus.

“Ini satu perubahan besar dengan adanya inovasi yang telah dicipta dan sememangnya inilah fokus kerajaan dan kementerian untuk membangunkan vendor-vendor tempatan dan juga syarikat PMKS yang lain supaya beralih dan berfokus kepada sektor berimpak tinggi.

“Saya berharap Syarikat Ingress AOI Technologies menjadi contoh dan motivasi kepada vendor-vendor lain atau syarikat-syarikat PMKS yang lain untuk mengadaptasi inovasi teknologi Internet of Things (IOT) dalam operasi syarikat mereka bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Automated Storage And Retrieval System (ASRS), Ingress AOI Technologies Sdn.Bhd (IATSB), di sini, hari ini.

Ewon berkata, pembangunan ASRS selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melihat syarikat-syarikat tempatan mengambil inisiatif membangunkan operasi melalui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Saya percaya ini akan menyuntik semangat vendor-vendor Bumiputera PERODUA untuk terus meningkatkan motivasi dan kecemerlangan seterusnya membuka ruang kerjasama dan komunikasi yang lebih erat antara syarikat dengan para vendor dalam mencapai kelestarian rantaian bekalan dan perkhidmatan,” katanya.

Syarikat IATSB adalah salah satu vendor Bumiputera PERODUA, menerima geran bernilai RM1 juta bagi memperkasakan inovasi dan mewujudkan solusi untuk meningkatkan kecekapan dalam mengintegrasikan teknologi Enterprise Resource Planning bersama Automated Storage Warehousing Retrieval System dengan menggunakan “Internet of Things” (IOT).

IATSB mengadaptasi teknologi terkini dalam pengkhususan robotik dan automasi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan meminimakan kos.

Sistem penyimpanan dan pengambilan automatik yang dibangunkan juga merupakan sistem kawalan komputer yang mampu mengenal pasti, menyusun dan memindahkan item dalam storan bertingkat tinggi dengan operasi manusia yang minimum, peralatan sokongan yang minima dan tahap produktiviti yang tinggi.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.