Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

2 rakyat Malaysia antara ditahan terbabit sindiket dadah di Indonesia

0

PONTIANAK: Pasukan petugas keselamatan sempadan Indonesia-Malaysia menumpaskan sindiket dadah Malaysia-Indonesia di kawasan Kalimantan Barat dalam operasi serang hendap dan menahan lima suspek termasuk dua rakyat Malaysia serta merampas 21.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine.

Anggota Angkatan Pertahanan Indonesia (TNI) terdiri daripada Batalion Artileri Medan 16/Tk (Yon Armed) Sektor Barat, ditempatkan di Kampung Semunying Jaya, Kecamatan Jagoi Babang, daerah Bengkayang di wilayah Kalimantan Barat.

Komander Pos Pemerintah Tentera (Korem) 121/Abw, Briged Jeneral Luqman Arief, berkata operasi membabitkan sembilan anggota dan dilancarkan selepas menerima maklumat daripada penduduk dusun Pareh di mukim Jagoi Babang mengenai kegiatan mencurigakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai J.

Portal berita ANTARA melaporkan, anggota pasukan keselamatan itu melancarkan operasi serangan hendap 30 Mei lalu.

Katanya, pasukan berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan ditempatkan di tiga jalan pintas menuju ke sempadan Indonesia-Malaysia.

Mengulas lanjut, Arief berkata penduduk kampung mengesyaki berlaku aktiviti rentas sempadan dikawasan berkenaan dan J mungkin mempunyai kaitan dengan sindiket dadah Indonesia-Malaysia.

“J diberkas di satu daripada tiga jalan pintas menuju ke sempadan,” katanya.

Selepas menahan J, anggota pasukan berkenaan terus mencari anggota sindiket dadah Malaysia-Indonesia yang lain yang disyaki membantu J.

Pasukan berkenaan akhirnya berjaya menemui lima lelaki di dalam sebuah van bersama 20 peket dadah jenis methamphetamine seberat 21.2 kilogram.

Menurut Arief, kelima-lima suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun.

Arief berkata, pihaknya menghargai kejayaan anggota pasukan berkenaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan memberi amaran mengenai potensi jenayah rentas negara termasuk penyeludupan barangan haram yang lain.

“Bungkusan dadah jenis methamphetamine atau serbuk kristal yang dirampas dalam operasi itu diserahkan kepada pejabat Badan Narkotik Kebangsaan (BNN) Kalimantan Barat untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

 67 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.