BEIJING: Seorang lelaki berusia 65 tahun di China dilaporkan sanggup menculik cucu perempuannya sendiri dan menuntut lebih 500,000 yuan (RM321,795) sebagai wang tebusan.
Lapor Oddity Central yang memetik media tempatan, warga emas itu yang juga merupakan kaki judi menculik cucunya berusia empat tahun dan meminta anak perempuannya membayar wang tebusan berkenaan.
Kisah pelik itu mengejutkan dan mencetuskan kemarahan jutaan rakyat di China.
Insiden itu bermula apabila lelaki dikenali sebagai Yuan pergi menjemput cucu perempuannya dari sekolah.
Bagaimanapun, Yuan tidak menghantar cucunya ke rumah ibu bapa kanak-kanak itu, sebaliknya dia menghubungi anak perempuannya untuk meminta wang tebusan.
“Lelaki itu memberitahu anak perempuannya bahawa dia perlu membayar setengah juta yuan sekiranya mahu melihat anak kecilnya semula.
“Malah, lelaki itu turut mengancam untuk membunuh kanak-kanak itu sekiranya gagal membayar wang tebusan dalam masa tiga hari.
“Terkejut dengan tuntutan bapanya, wanita itu segera menghubungi polis dan Yuan kini sudah ditahan,” jelas laporan itu.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan bila kejadian itu berlaku namun Shanghai Law Jurnal baru-baru ini melaporkan Yuan sudah dipenjarakan kerana tindakan melulunya.
Warga emas itu cuba menyalahkan anak perempuannya untuk segala masalah dihadapi dalam kehidupannya.
“Dia juga menuduh anak perempuannya tidak bersyukur dan berharap agar dia akan mati,” jelas laporan itu.
Sebahagian besar penduduk mengecam tindakan Yuan dengan menyifatkan lelaki itu tidak layak dipanggil bapa mahupun datuk.
Malah, rata-rata penduduk juga menasihati wanita itu untuk memutuskan semua hubungan dengan bapanya.