Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Badan pemantau Australia tuntut X padam video insiden tikam

0

SYDNEY: Badan pemantau dalam talian Australia memberitahu mahkamah hari ini, pihaknya sedang membuat tuntutan membabitkan hantaran di platform X di seluruh dunia yang memaparkan insiden tikaman di Sydney.

Ia sebagai tanggungjawab undang-undang platform media sosial dan peranan penyekatan geo.

Peguam bagi Suruhanjaya eSafety memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa X tidak mengambil semua langkah yang munasabah untuk mengalih keluar video dan audio serangan itu daripada platformnya.

Wakil suruhanjaya itu, Tim Begbie, berkata walaupun X menyekat video terbabit berdasarkan geografi kepada pengguna Australia, ia masih boleh ditonton menggunakan rangkaian peribadi maya yang ‘tidak mendedahkan’ lokasi pengguna.

“Penurunan video itu secara global adalah langkah yang munasabah,” katanya kepada mahkamah.

Begbie berkata, teknologi Rangkaian Persendirian Maya (VPN) digunakan kira-kira satu perempat warga Australia termasuk kakitangan suruhanjaya itu.

Perisian itu untuk digunakan bagi mengakses video berkenaan.

“Mereka melakukannya ketika log masuk ke akaun dewasa, akaun kanak-kanak dan melakukan perkara sama ketika tidak log masuk ke X.

“Ini bukan prosiding mengenai perdebatan dasar kebebasan bersuara,” katanya.

Sebaliknya, tegasnya, kes itu mengenai sama ada bahan grafik sesuai di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian Australia dan kuasa undang-undang untuk melindungi orang ramai daripada kandungan haram atau yang disekat.

Bulan lalu, paderi terkemuka, Biskop Mar Mari Emmanuel ditikam di kepala dan dada oleh seorang suspek berusia 16 tahun.

Polis mengklasifikasikan insiden itu sebagai kes membabitkan pengganas.

Paderi terbabit yang dilaporkan sudah pulih, menyokong pengedaran video terbabit.

Dalam pada itu, pemilik platform media sosial terbabit, Elon Musk sebelum ini berkata, larangan global melangkaui kuasa pengawal selia siber negara itu, eSafety.

Suruhanjaya eSafety mempunyai kuasa menuntut syarikat internet mengalih keluar bahan tidak dibenarkan seperti kandungan keganasan daripada platform mereka. – AFP

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.