KEADAAN banjir di Kg. Gasabon Apin-Apin Keningau semakin surut, namun kesemua lapan keluarga yang melibatkan seramai 16 orang mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) belum dibenarkan kembali ke rumah kediaman masing-masing.
Menurut rekod, seramai 68 penduduk yang terkesan dengan bencana banjir itu namun yang lain menumpang di rumah keluarga di kawasan yang selamat.
PPS bagi mangsa-mangsa ini ditempatkan di Dewan Masyarakat Pekan Apin-Apin yang diuruselia oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela dan Jawatankuasa Desa dan Bandar (JKDB).

Cuaca buruk yang melanda sebahagian kawasan Pedalaman Sabah sejak Rabu, menerbitkan banjir yang menengelami beberapa perkampungan penduduk di kawasan rendah selain merosakkan asset kerajaan khususnya jalanraya.
Seorang mangsa yang ditemui di PPS Dewan Masyarakan Pekan Apin-Apin, GasibGasida, 78, banjir mula menengelami halaman rumahnya seawal jam 5 subuh pada Rabu.
“Keadaan tidak terkawal pada jam-jam seterusnya sehingga bantuan tiba,” Katanya dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Wakil Rakyat Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin yang datang sendiri dengan menaiki sebuah bot untuk menenangkan keadaan.
Operasi memindahkan penduduk Kg. Gasabon yang terjejas banjir bermula pada jam 5 petang pada Rabu dan berakhir kira-kira jam 8 malam. – Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA.