BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan undang-undang ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa difitnah bekas perdana menteri itu.
Notis tuntutan bertarikh 22 April menyebut, kenyataan fitnah Dr Mahathir terbit dalam rencana bertajuk ‘Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib, dakwa Dr Mahathir’ oleh portal The Malaysian Insight (versi Bahasa Malaysia) pada 16 April lalu.
“Anakguam kami menyatakan bahawa segala pengataan yang dikeluarkan oleh Tun yang kemudiannya dikeluarkan melalui artikel 16.04.2021 adalah tidak benar dan merupakan fitnah terhadap anakguam kami serta bertujuan untuk memalukan, mengaibkan dan menjatuhkan maruah serta kredibiliti anakguam kami sebagai individu, sebagai bekas Ketua Polis Negara dan atau termasuk sebagai bekas penjawat jwatan-jawatan lain,” lapor Mynewshub.
Notis itu diterbitkan firma guaman Gunaseharan & Linda yang mewakili Khalid.
Antara kandungan ayat yang didakwa fitnah ialah “Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh ketua polis negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad.
“Perdana Menteri ketujuh itu mendedahkan demikian sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat Kerajaan itu masih menjadi Gabenor Bank Negara”.
Sehubungan itu, Dr Mahathir diminta membuat permohonan maaf secara terbuka serta bertulis dalam portal berita The Malaysian Insight dan laman sosial beliau seperti di Facebook, Instagram dan sebagainya dalam tempoh 7 hari dari tarikh notis tuntutan berkenaan.
Dr Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan yang sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran.
Tambah notis itu, Dr Mahathir juga dikehendaki menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah berkenaan.
Sekiranya beliau gagal mematuhi segala tuntutan di atas, maka Dr Mahathir akan berhadapan dengan tuntutan RM10 juta.
“Ringgit Malaysia sepuluh juta untuk dibayar kepada anakguam kami sebagai gantirugi yang dialami oleh anakguam kami susulan daripada kenyataan fitnah oleh Tun melalui artikel 16.04.2021,” katanya. — SM