“TOLONG kami YAB Ketua Menteri,” demikian rayuan Ketua Kampung Motolop Ulu Pangi, Soromon Pesaly Tandun, 57, dengan merujuk operasi pembalakan di kawasan kampung itu yang beliau sifatkan menafikan kewujudan hak asasi peribumi di situ.
Soromon menegaskan bahawa campur tangan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berhubung dengan kes Kg. Motolop sangat penting sebagai keterusan hidup rakyat terpencil di situ.
“Kabinet Sabah pada 2 Nov 2003 telah meluluskan permohonan pengeluaran kawasan itu (penempatan seramai 300 orang penduduk Kg. Motolop seluas 4,500 hakter), melalui Ruj: JKM (R) 100-52/5 Jld.38/5,”
“Kerajaan lalu (Warisan) turut membentangkan kes yang sama di persidangan dewan undangan negeri dan meluluskan permohonan penduduk melalui Ruj: JKM 200-3/1 Jld: 132 (24) bertarikh 16 Julai 2019,”
“Sebenarnya apa masalah di sini,” katanya dengan mengajukan soalan itu kepada pihak Jabatan Prhutanan Sabah.
Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Mohd Jaini dalam suratnya kepada Setiausaha Sulit Kepada Ketua Menteri Sabah pada tarikh 9 Jun 2020 (era kerajaan parti Warisan) memberitahu, kawasan yang dipohon oleh penduduk Kg. Motolop termasuk dalam Hutan Simpan Kelas II dan telah dilesenkan secara konsesi bagi tempoh 100 tahun bermula 1 Januari 1996 hingga 1 Januari 2095 kepada SFI Industries Sdn Bhd.
Jabatan Perhutanan Sabah mengakui bahawa kawasan yang dipohon terletak dalam kawasan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 November 2003 untuk dikeluarkan dari Hutan Simpan Sipitang seluas 12,436 hakter (30,730 ekar) untuk tujuan perkampungan dan penjanaan ekonomi penduduk asal di dua buah daerah, Tenom meliputi kemabong serta Sipitang.
Kampung Motolop yang yang didomanasi oleh suku kaum Murut terletak di Ulu Panggi dalam daerah Tenom wujud sejak Jun 1976 yang kini berusia 45 tahun.
Penduduk asal di situ terlibat dalam pelbagai kegiatan pertanian sara hidup seperti padi huma serta buah-buahan komersil seperti durian, langsat, tarap dan lain-lain, kuburan penduduk yang berjumlah 20 buah juga terletak di lokasi tersebut.
Permohonan penduduk untuk mewartakan kawasan itu sebagai perkampungan adat dan penjanaan ekonomi diluluskan pada 2 November 2003 oleh kerajaan terdahulu, namun situasi menjadi tanda tanya apabila status kewujudan Motolop dan penduduk asal di situ dipersoalkan oleh pihak tertentu.
Perhutanan menjelaskan bahawa keputusan mesyuarat Jemaah menteri itu tidak dapat dilaksanakan atas sebab ketiadaan kawasan ganti seperti yang dituntut oleh pemegang lesen.
“… Sebab itu kami (Penduduk Kg. Motolop) memerlukan campur tangan Ketua Menteri untuk menangani masalah ini,”
“Soal dasar jabatan perhutanan atau dasar kerajaan, urusan itu tidak kena-mengena dengan rakyat bawahan seperti kami,”
“Tuntutan kami hanya fokus kepaada keterusan hidup .. di Motolop kami dilahirkan, dibesarkan, mencari makan dan disitu juga persemadian nenak moyang kami,” katanya.
Soromon berkata, aktiviti pembalakan di kawasan perkampungan mereka tidak sepatutnya tidak berlaku pada ketika syarikat itu dalam proses penstrukturan pemilikan.
“Kilang itu kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah …masalah gaji pekerja dan dan banyak lagi masalah yang berkait dengan soal pengurusan … saya ingin tahu, kemana kayu-kayu balak yang sudah ditebang itu dibawa?.” Tanya Soromon.
“Sebab itu kami mahu campur tangan Ketua Menteri untuk menghentikan operasi penebangan di kawasan itu sehingga masalah dalam pemilik konsesi benar-benar selesai,” cadangnya dan menambah, beliau dan penduduk Motolop tidak akan berganjak sehingga tuntutan hak mereka ke atas tanah di kawasan itu menjadi milik mereka.
“Penduduk Matolop benar-benar yakin dengan sentuhan Ketua Menteri dalam hal ini,” katanya. – BD