LANSING: Gara-gara tidak sempat ke hospital, seorang bayi dilahirkan di kawasan tempat letak kereta pasar raya Costco dengan bantuan anggota kecemasan di Michigan baru-baru ini.
Jabatan Bomba Perbandaran Green Oak berkata, sepasang suami isteri sedang dalam perjalanan ke hospital Sabtu lalu apabila mereka menyedari bahawa mereka tidak akan tiba tepat pada waktunya.
Pasangan itu kemudian segera berhenti di kawasan tempat letak kereta pasar raya borong Costco kawasan Brighton dan menghubungi talian perkhidmatan kecemasan Livingston County.
Anggota kecemasan tiba tepat pada masanya untuk membantu menyambut kelahiran bayi itu dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.
Selepas selamat melahirkan, ibu dan bayi itu kemudian dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.
Timbalan Ketua Bomba Green Oak ,Tracy Chamberlain berkata, dua beranak itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat walaupun selepas berdepan detik mencemaskan di kawasan tempat letak kereta itu.
Kejadian hampir sama pernah berlaku kepada seorang wanita dari Ohio yang bersalin di pekarangan rumahnya pada September tahun lalu.
Alyson Michael dari Westfield Township berkata, suaminya sedang bersiap untuk membawanya ke hospital apabila dia menyedari sudah terlalu hampir untuk bersalin.
Keluarganya menghubungi talian kecemasan dan Michael akhirnya melahirkan anak di dalam ambulan sebelum sempat kenderaan itu meninggalkan jalan masuk kediamannya.-AGENSI