PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick berkata, rakyat Malaysia di Sabah harus teguh dan bersatu hati untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara Malaysia.
Justeru tegas Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi itu, penganjuran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah amat penting sebagai antara pengisian menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Bulan Kebangsaan.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang amat penting untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat seluruh negara.
“Selain membangkitkan semangat cintakan negara, program ini juga penting untuk menyatupadukan dan mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan ‘Flag-off’ Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 Daerah Penampang, di Perkarangan Wisma Majlis Perbandaran Penampang, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, semasa penubuhan Malaysia, terdapat pihak luar dari negara lain tidak bersetuju dengan keputusan itu dan masih ada tuntutan sehingga dibawa ke mahkamah negara luar.
“Sebab itu Kerajaan Malaysia, pimpinan yang ada pada hari ini telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas untuk melawan semua usaha pihak luar itu.
“Ini menunjukkan komitmen besar Kerajaan Persekutuan terhadap kedaulatan Sabah dan dalam masa yang sama rakyat Sabah dan Kerajaan Sabah komited untuk terus mempertahankan kedaulatan ini,” katanya.
Ewon berkata, cabaran yang dihadapi negara Malaysia juga berlaku kepada mana-mana negara berdaulat dan merdeka.
Beliau berharap Sabah terus menjadi wilayah yang berdaulat di negara ini bukan hanya untuk tempoh 61 tahun akan datang tetapi selama-lamanya.