Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP sedia pelbagai program pembangunan keusahawanan halal – Ewon

0

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan pelbagai program pembangunan keusahawanan halal (PPKH) termasuk pensijilan halal, bantuan pembiayaan dan geran untuk membantu para usahawan di seluruh negara.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antaranya bantuan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menampung kos pematuhan syarat-syarat pensijilan halal seperti kursus kesedaran dan pensijilan halal kepada pekerja-pekerja syarikat, kos khidmat rundingan, perkhidmatan analisis produk dan fi pensijilan.

Beliau berkata, KUSKOP juga menyediakan bantuan pembiayaan sehingga RM30,000 bagi menampung kos pembangunan jenama produk, penyediaan prototaip dan menaiktaraf rekabentuk pembungkusan dan pelabelan setiap produk usahawan melalui Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal.

“Program Inovasi dan Teknologi Halal adalah untuk usahawan-usahawan yang telah memiliki pensijilan halal dan mahu meningkat keberhasilan produk serta perkhidmatan halal berteraskan inovasi dan teknologi.

“Program ini menyediakan geran pembiayaan bagi mengadaptasi inovasi dan teknologi halal dalam meningkatkan produktiviti produk halal meliputi aspek pemindahan teknologi, bantuan pembelian mesin, digitalisasi dan pembangunan penyelidikan serta pengkomersialan produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Kesedaran Halal Usahawan Madani Negeri Sabah: Pensijilan Halal Usahawan / Pensijilan Halal Industri Kotej 2024, di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Ewon berkata, KUSKOP turut menyediakan geran bantuan sehingga RM200,000 kepada usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Katanya, bagi membantu usahawan PMKS yang telah stabil dan Export Ready, KUSKOP melaksanakan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran antarabangsa, menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal Malaysia dan membina jaringan perniagaan serta pemasaran produk dan perkhidmatan halal Malaysia di persada antarabangsa. 

“KUSKOP menyediakan bantuan melalui pembiayaan melibatkan bayaran penyertaan usahawan PMKS dalam ekspo dan pameran perdagangan antarabangsa dan pendaftaran produk di luar negara,” katanya.

Mengenai pensijilan halal, Ewon berkata, ia adalah satu jaminan kualiti kepada pengguna bahawa produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh usahawan dan koperasi adalah bersih dan selamat digunakan selain memenuhi keperluan dari segi syariat Islam.

“Dalam aspek perniagaan pula, usahawan boleh meluaskan rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, Sabah mempunyai potensi besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap selain kedudukan strategik dan geografinya yang luas.

“Dalam hal ini, saya lihat potensi industri halal pada hari ini sangat luas dan menjadi satu kerugian sekiranya kita tidak merebut peluang dalam industri ini.

“Halal bukan sahaja dikaitkan dengan perindustrian makanan dan minuman semata-mata, skopnya amat luas merangkumi produk dan perkhidmatan melibatkan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, kosmetik dan pelancongan.

“Industri halal di Malaysia menyediakan peluang yang amat besar, justeru pengusaha IKS di Sabah perlu merebut peluang untuk terlibat dalam industri halal di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap program seumpama ini dapat menyuntik semangat para usahawan IKS Sabah untuk menceburkan diri dan membawa perniagaan ke industri halal sehingga peringkat antarabangsa.

Program selama dua hari itu yang berlangsung sehingga esok (11 Ogos) disertai 168 peserta, bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan dan koperasi dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan halal yang berdaya saing serta meningkatkan bilangan usahawan Sabah yang mendapat pensijilan halal.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.