Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

BKD hargai sumbangan pelopor perjuangan bahasa Kadazandusun

0
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Majlis Anugerah Guru Bahasa Kadazandusun (BKD) yang julung kalinya diadakan bertujuan menghargai sumbangan pejuang bahasa itu.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, ia juga sejajar dengan perjuangan parti itu sebagai pelopor Bahasa Kadazandusun.

Ewon mengabadikan gambar kenangan bersama penerima anugerah

“Majlis seumpama ini adalah pengiktirafan kepada individu-individu yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam perjuangan bahasa Kadazandusun.

“Kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Bank Rakyat (YBR) menjayakan program ini menunjukkan semangat “mitabang” terus subur dalam komuniti kita.

“Terima kasih kepads YBR kerana terus menjalankan amanah melebarkan perkhidmatan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Guru Bahasa Kadazandusun dan Pengiktirafan Pejuang Bahasa Kadazan & Dusun, di SICC, di sini, semalam.

Pada majlis itu Tan Sri Bernard Dompok diberikan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Gaa’ Huguan Manampasi Sunduvan Boos 2023).

Beliau merupakan pemimpin Kadazan berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan Sabah. Dedikasi dan pengalaman beliau dalam kerajaan telah merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun di sekolah rendah pada tahun 1994 dan di sekolah menengah pada 2006.

Tan Sri Bernard adalah antara pelopor dan tonggak utama dalam penubuhan Kadazandusun Language Foundation (KLF) pada tahun 1994.

Beliau juga giat dalam usaha memperbanyakkan karya kesusasteraan Kadazandusun melalui penganjuran pertandingan menulis novel dalam bahasa Kadazandusun yang kini menjadi salah satu program mercu KLF dan pemenang bagi pertandingan ini akan dianugerahkan ‘Gaa’ Koponuatan Novel Tan Sri Bernard G. Dompok’ (Tan Sri Bernard G. Dompok Literary Award).

Pada majlis itu tiga kategori anugerah kain disampaikan.

Bagi kategori A, Anugerah Tokoh Guru BKD (Gaa’ Mongingia’ di Kohimuntu 2023) diberikan kepada Penolong Kanan Kokurikulum di SK Putaton, Inobong Priscilla Moses Gukim.

Berupakan salah seorang penulis novel BKD anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) dan penulis buku kerja terbitan KLF.

Penerima Anugerah Tokoh Guru BKD (Gaa’ Mongingia’ di Okreatif 2023) pula diberikan kepada Alfredo Albert, seorang guru dari SK Penangah, Telupid.

Beliau sangat kreatif menghasilkan ‘Bahan Sokongan Mata Pelajaran BKD’ di pelantar YouTube yang bertajuk ‘Susuyan Giuk om Bilu’. Beliau juga merupakan illustrator bagi  tiga buah buku cerita atau ‘Buuk Susuyan’ yang diterbitkan oleh IPG Kent pada tahun 2022.

Penerima-penerima lain ialah Velter Jailih, SK Pekan Tambunan (Gaa’ Mongingia’ di Katama’ 2023), Cynthiana John dari SK Malawa, KK (Gaa’ Mongingia’ di Huuhundu’ 2023) dan Dr. Rosie Johnny ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Bahasa Kadazandusun di Kampus IPG Kent Tuaran (Gaa’ Mongingia’ di Odinamik 2023).

Bagi kategori B iaitu Anugerah Pendidik Kelas Komuniti (Gaa’ Popoingkavas Kobu’on Boos 2023) diberikan kepada Camilla Anthony dari Kg. Kipouvo, Penampang.

Beliau adalah perintis penubuhan Community Learning Centre (CLC) di Kg. Kipouvo, Penampang pada 18 Ogos 1993 dan masih menjalankan tugas sebagai pendidik hingga ke hari ini.  Beliau menggunakan bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantara di CLC serta terbabit dalam penerbitan buku “Buuk Kalaja’ Doid Boros Kadazandusun (Poguhu mugad sikul) pada tahun 2009; “Takanon Koubasanan” (2015); serta buku besar “Monubo Sada’ dan “Mongintutun do Wulan” pada tahun 2022.

Penerima lain dalam Anugerah Pendidik Kelas Komuniti ialah Eugine Juani (Kg. Kipouvo, Penampang), Jita Gosungkit (Kg. Togudon, Penampang), Rita Manuel (Kg. Togudon, Penampang), Josphen Joannes (Kg. Tampasak, Penampang), Rufina Koyou (Kg. Kepayan, Penampang), dan Tongotiagak Regina Bruno.

Anugerah Pengikhtirafan Pemartabat Bahasa 2023 (Gaa’ Kapantangan Pinoposungkad Sunduvan Boos 2023) diberikan kepada Wilfred Mojilis, Anugerah Pengikhtirafan Pemartabat Bahasa 2023 (Gaa’ Kapantangan Pinoposungkad Sunduvan Boos 2023) Peter Lidadun, Anugerah Pengikhtirafan Pemartabat Bahasa 2023 mendiang Datuk Fred Sinidol.

 

 199 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.