TINDAKAN kerajaan Sabah melonggarkan sebahagian prosedur standard operasi (SOP) dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama di negeri ini perlu dilihat secara positif.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan kerajaan negeri itu adalah berlandaskan data dan fakta selain jumlah kes harian yang masih ditahap sederhana berbanding di beberapa buah negeri di Semenanjung.
“Selaku pemimpin di Sabah, keputusan kerajaan negeri ini adalah satu keputusan bersama setelah perbincangan dibuat dan saya berdiri teguh dibelakang keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Namun kita juga tidak menafikan kehendak dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat dan sudah pasti kita semua mahu penularan wabak COVID-19 ini dapat dicegah dan ditamatkan segera,”katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah di Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.
Bung yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah berkata, keputusan melonggarkan sebahagian SOP itu juga bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri Sabah dalam pelbagai industri.
“Namun jika ada SOP yang boleh datangkan penularan jangkitan tinggi, sudah pasti kerajaan negeri tidak akan longgarkan.
“Apa yang penting sekarang, kerajaan perlu percepatkan vaksinasi kepada seluruh rakyat di Malaysia termasuk di Sabah,” katanya.

Di Keningau, (Pedalaman Sabah) Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Dan Kebajikan Etnik Kujau, Gana, Nabai Sabah (KGNS) Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, kerajaan pusat seharusnya proaktif terhadap penghntaran vaksin ke negeri Sabah memandangkan terdapat beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pedalaman dilaporkan kehabisan vaksin bagi dos 1.
Suntikan vaksin dos 2 berjalan seperti biasa.
Katanya situasi itu sangat menyedihkan pada ketika rakyat dengan sepenuhnya sudah bersedia menerima suntikan dos itu.
Mengenai pengumuman Ketua Menteri Sabah yang melonggarkan sebahagian prosedur standard operasi (SOP) dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama, Yazid berkata Datuk Seri Hajiji Noor sangat memahami perasaan rakyat dan mengetahui keadaan sebenar rakyat di merata tempat di negeri itu.
“Beliau (Datuk Seri Hajiji Noor) telah mengambil kira semua sudut termasuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak sebelum membuat keputusan,”.
“..Kerajaan pusat sewajarnya memahami bahawa Ketua Menteri Sabah telah melakukan tindakan yang terbaik untuk keterusan hidup rakyat dibawah jagaannya,” Katanya dalam atu kenyataan di sini, lewat petang pada Rabu. – Oleh: JOHARY INDAN
1,181 total views, 1 views today