TAWAU (Sabah, Malaysia): — Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru setiap daerah seharusnya memiliki system pengurusan bencana yang teratur menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), tegas Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Bercakap bahawa ia dilakukan bersama dengan agensi kerajaan, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah itu berkata, perkara itu penting supaya bantuan yang diberikan kepada mangsa lebih teratur selain mengelak daripada pertindihan tugasan.
“Kita ingin system pengurusan bencana yang dapat membantu ketika menghadapi bencana,” jelasnya dan menambah melalui system itu mangsa mengetahui peraturan yang perlu dipatuhi ketika sedang berhadapan dengan sebarang bencana.
Jainab berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan semua agensi agar perkara itu dapat direalisasikan pada tahun ini.
“Saya telah berbincang untuk melakukan system pengurusan bencana ini secara NBOS, kerana kita maklum setiap agensi jabatan berkaitan mempunyai operasi tindakan masing-masing,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar mangsa kebakaran di Kampung Batu 2, Jalan Apas yang berlaku pada 2 Jan 2017 yang lalu.
Kebakaran yang berlaku jam 3 petang itu menyaksikan Sembilan buah rumah musnah mengakibatkan 25 keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Pada Isnin 9 Jan 2017) seramai 39 orang pelajar yang terlibat dalam musibah itu menerima bantuan peralatan persekolahan daripada menteri itu.