NABAWAN (Sabah, Malaysia) — Dewan Perniagaan Tionghua Nabawan telah mengadakan program lawatan amal sempema Tahun Baru Cina tahun ini di Klinik Kesihatan Nabawan di sini pada Jumaat.
Sempena lawatan itu rombongan mengagih-agihkan hamper, limau mandarin dan angpau kepada pesakit dan kakitangan Klinik itu.
Pengerusinya, Kapitan Ng Nai Yung berkata, program itu diadakan bertujuan untuk menyantuni masyarakat di daerah ini selain membantu memberi keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Selain kami merayakan perayaan ini dengan gembira, mereka yang kurang sihat atau tidak sihat juga tidak akan dilupakan dan diharapkan dengan lawatan ini, pemberian hamper dan angpau ini akan dapat memberi keceriaan kepada mereka,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas program itu.
Katanya, program ini adalah kedua kalinya diadakan dan akan diteruskan pada tahun yang akan datang.
Lawatan amal itu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam, dengan diiringi oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Nabawan, Dr Archana, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Nabawan Kow Lap Hee, Bendahari Kapitan Leong Chee Min, Setiausaha Tieng King Pek dan ahli-ahli Dewan Perniagaan Tionghua Nabawan.
Selain menyampaikan sumbangan, pihak rombongan juga turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi agar para pesakit bersemangat dalam meneruskan kehidupan seharian mereka seperti biasa.
Sementara itu Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam mengalu-alukan program lawatan amal Dewan Perniagaan Tionghua daerah itu yang perlu dicontohi oleh pertubuhan atau persatuan serta NGO yang lain.
Katanya, dalam program seumpama ini bukan diukur pada nilai barangan yang disampaikan tetapi yang lebih penting dapat menemui para masyarakat yang kurang bernasib baik lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlantar di wad kelinik atau hospital.