Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Dokumen pemisahan Singapura-Malaysia boleh dibaca umum

0

SINGAPURA: Kerajaan Singapura bersetuju untuk mengubah status dan menerbitkan dokumen dalam fail Albatross iaitu sebuah fail lama yang disimpan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri negara itu, mendiang Dr. Goh Keng Swee mengenai pemisahan Singapura dan Malaysia.

Fail berkenaan mengandungi perbicaraan dan rundingan pe­ringkat tertinggi yang disimpan Keng Swee menjelang keputusan Singapura keluar dari Malaysia pada Ogos 1965.

Fail itu sebahagian besarnya merangkumi dokumen berkaitan proses sebelum termeterainya Perjanjian Perpisahan pada Ogos 1965 yang selama ini dikategorikan di bawah Akta rahsia Rasmi (OSA).

BAPA PENGASAS SINGAPURA
Menteri Komunikasi dan Penerangan negara itu, Dr. Janil Puthucheary berkata, Keng Swee berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura di antara 1973 dan 1985 dan diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang bapa pengasas Singapura.

“Proses mengubah status atau penyahklasifikasian bermula beberapa lama dahulu dan mengambil sedikit masa berikutan kerumitan bahan dan subset bahan itu adalah sebahagian daripada pame­ran awam,” kata Putucheary sewaktu sesi perbahasan di Parlimen bagi mewakili kementeriannya.

Beliau berkata, satu set besar dokumen Albatross yang tidak diklasifikasikan ini akan dikeluarkan dalam sebuah buku me­ngenai pemisahan kedua-dua negara yang akan diterbitkan pada akhir tahun ini.

“Ini termasuk kertas Kabinet dan nota Keng Swee mengenai perbualannya dengan pemim­pin Malaysia,” kata Puthucheary.

7,000 REKOD BELUM DIUBAH STATUS
Menteri itu juga memaklumkan kepada Parlimen bahawa sejak 2016, agensi kerajaan menyemak lebih 7,000 rekod kerajaan Singapura yang belum di­nyahklasifikasikan.

“Ini sebagai tindak balas kepada 2,130 permintaan orang ramai. Secara keseluruhannya, 83 peratus daripada rekod ini diluluskan untuk akses. Secara keseluruhan, kira-kira 68,000 rekod fail dinyahklasifikasikan dan boleh diakses oleh orang ramai,” katanya.

Selain menjadi rekod penting bagi detik bersejarah Singapura, fail itu turut dilengkapi panda­ngan mengenai perbincangan antara pemimpin Malaysia dan republik itu beberapa minggu menjelang perpisahan.

Beberapa kandungan fail Albatross sudah didedahkan kepada umum sebelum ini, termasuk dalam buku ‘The Singapore Story’, yang juga jilid pertama memoir bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.

Sebahagian daripada fail berkenaan turut dipamerkan di Muzium Negara Singapura, sebelum ini.

Ia turut memberi pandangan terperinci mengenai peranan pemimpin Singapura sendiri mencadangkan dan mempermudahkan proses pemisahan, bertentangan dengan gambaran umum bahawa republik itu ‘diusir’ oleh Malaysia. – AGENSI

 

 717 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.