GAZA CITY: Dua wartawan lelaki Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza.
Agensi berita Palestin, WAFA melaporkan wartawan berkenaan dikenal pasti sebagai Muhammad Nabil al-Zaq dan Assem al-Barsh.
Menurut laporan itu, kedua-dua individu itu terbunuh dalam serangan Israel di kawasan kejiranan al-Shujaiya di Gaza City dan kawasan al-Saftawi, utara Gaza.
Jelas laporan, Muhammad Nabil merupakan wartawan TV Quds manakala Assem pula bekerja sebagai jurutera bunyi dan pengulas bagi radio Al-Ray Palestin.
Setakat ini, nama kedua mangsa itu masih belum dimasukkan dalam senarai wartawan terbunuh yang disusun oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).
Sementara itu, CPJ memaklumkan sekurang-kurangnya 53 wartawan dan pengamal media terbunuh dalam konflik Israel-Hamas sejak 7 Oktober lalu.
Jelasnya, jumlah itu membabitkan 46 rakyat Palestin, tiga warga Lubnan dan empat orang dari Israel.