Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Agensi pembangunan keusahawanan negeri dan persekutuan diselaras – Ewon

0
EWON

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Datuk Ewon Benedick memberitahu bahawa penyelarasan bagi semua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan penting bagi mengelak pertindihan penerima pembiayaan,

Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia itu menegaskan, pengwujudan jawatankuasa penyelarasan itu juga bertujuan untuk memantapkan  kerjasama dan tidak bergerak sendirian apabila melaksanakan program-program di Sabah.

Ewon bercakap kepada pengamal media selepas mesyuarat JPPKNS di ibu negeri

“Ia juga akan memastikan kumpulan sasaran menerima manfaat sewajarnya dan tiada yang tertinggal daripada manfaat yang disediakan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana bersetuju untuk kita menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan melibatkan kesemua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pembangunan keusahawanan di Sabah.

“Jawatankuasa yang sama juga diadakan di Sarawak dan saya percaya dengan adanya jawatankuasa ini, kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan dapat memperkasakan kerjasama supaya tidak lagi seperti selama ini, di mana agensi-agensi persekutuan bergerak bersendirian apabila melaksanakan program yang dimandatkan di bawah agensi masing-masing,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) di sini, Isnin.

Ewon berkata, pengwujudan jawatankuasa itu juga dilihat mampu membantu golongan sasar khususnya usahawan kecil, sederhana, penjaja dan peniaga kecil-kecilan.

Mesyuarat yang julung kalinya diadakan itu dihadiri 21 wakil agensi dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Datuk Phoong Jin Zhe berkata, inisiatif yang diwujudkan itu adalah usaha yang baik demi pembangunan semua usahawan di Sabah khususnya golongan belia.

Katanya, adalah penting semua agensi Pusat dan negeri duduk bersama-sama dan menyelaras seterusnya mencari pendekatan memudahkan para usahawan yang mahu memperkasakan perniagaan masing-masing.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.