Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon Adakan Kunjungan ke SEDIA, Perkukuh Agenda Pembangunan Ekonomi Sabah

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 1 Okt 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, pada Selasa mengadakan kunjungan rasmi ke Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) sebagai langkah strategik memperkukuh kerangka kerjasama pembangunan ekonomi Sabah.

Kunjungan ini memberi penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi, pengembangan ekosistem keusahawanan, serta pengukuhan peranan Sabah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serantau yang berdaya saing.

Menurut Ewon, kerjasama erat antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SEDIA penting bagi memastikan syarikat-syarikat berprestasi tinggi dari Sabah mampu menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

“KUSKOP bersama agensi-agensi di bawah kementerian saya akan terus berganding bahu dengan SEDIA untuk memajukan syarikat tempatan, khususnya yang berpotensi tinggi, agar dapat melonjakkan daya saing ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa SEDIA telah memainkan peranan signifikan dalam melaksanakan projek-projek khas yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi rakyat di peringkat akar umbi. Usaha ini, katanya, adalah bukti wujudnya sinergi kukuh antara dasar pembangunan pusat dengan keperluan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan, atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pandangan strategik mengenai hala tuju pembangunan Sabah. Beliau menilai sumbangan SEDIA sebagai kunci penting dalam memperkukuh daya tarikan pelaburan negeri di peringkat serantau.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.