TELUPID, Sabah (Malaysia), 26 Okt 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menggesa semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperhebatkan pelaksanaan program pembangunan keusahawanan luar bandar dan kawasan pedalaman bagi memastikan komuniti di wilayah tersebut tidak terpinggir daripada arus kemajuan ekonomi negara.
Ewon berkata, akses terhadap pembiayaan, latihan dan peluang pasaran perlu diperluas secara lebih agresif kepada usahawan pedalaman kerana mereka berdepan cabaran unik seperti kos operasi yang tinggi serta kekangan logistik dan infrastruktur. Menurutnya, penglibatan langsung agensi di lapangan merupakan langkah strategik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi inklusif serta mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar.
“Kemudahan dan sokongan yang disediakan kementerian mesti sampai terus kepada usahawan di Mukim Nangoh dan kawasan pedalaman lain di seluruh negara. Saya mahu KUSKOP dan agensi-agensinya turun padang untuk memacu gerakan keusahawanan dan koperasi sebagai platform pengukuhan ekonomi rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mesra Usahawan TEKUN Nasional Telupid di Dewan Kampung Gana Jati, Nangoh.
Setakat tahun 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM109 juta kepada 2,006 usahawan di Sabah, termasuk RM8.5 juta kepada 207 usahawan di Telupid dalam tempoh yang sama. Ewon menjelaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang diperkenalkannya dua tahun lalu bagi memastikan Sabah dan Sarawak menjadi penerima manfaat utama dalam kerangka pembangunan ekonomi nasional.
Antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) oleh TEKUN Nasional bagi menyokong peniaga di pasar tamu di Sabah dan Sarawak, Skim Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus) yang dilaksanakan oleh SME Corp untuk memperkukuh perusahaan kecil tempatan, serta Projek Tamu Desa yang bertujuan menaik taraf infrastruktur pasar tradisional luar bandar dan telah menerima tambahan peruntukan RM20 juta melalui Belanjawan 2026.
“Pasar tamu tradisional masih menjadi nadi ekonomi masyarakat luar bandar. Dengan menaiktaraf infrastrukturnya, kita bukan sahaja memperkukuh ekosistem perdagangan desa tetapi juga memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat terus dipertingkat,” tambahnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan TEKUN Nasional dan penyerahan pembiayaan kepada usahawan tempatan, selain sesi soal jawab bersama komuniti usahawan mengenai cabaran dan peluang dalam sektor keusahawanan dan koperasi.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Hamid; serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
![]()