Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Cucuk duit di ATM, ular kapak yang keluar

0

BANGKOK: Seorang pembantu jururawat berdepan detik mencemaskan apabila seekor ular tiba-tiba muncul dari mesin pengeluaran automatik (ATM) di Lamduan, Thailand.

Memetik Thaiger, wanita berusia lingkungan 30-an dari Hospital Lamduan itu dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak 900 baht (kira-kira RM118.80) sebelum reptilia berkenaan meluncur keluar dari ruang pengeluaran wang.

Terkejut dengan kemunculan ular itu, mangsa segera berundur menyebabkan mesin ATM berkenaan menarik semula wang berkenaan secara automatik.

Dia yang ketakutan kemudian menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, pegawai dari Balai Polis Lamduan tiba tidak lama kemudian dan mendapati terdapat sekeping wang kertas 100 baht (kira-kira RM13.20) masih terkeluar dari mesin berkenaan.

Selebihnya dipercayai sudah ditarik semula ke dalam mesin bersama ular terbabit.

Sementara itu, berdasarkan keterangan mangsa, polis percaya ular itu adalah spesies ular kapak bakau atau ‘Malayan pit viper’ yang sangat berbisa dan banyak ditemui di seluruh Thailand.

Pihak bank kemudian dihubungi bagi membuka mesin ATM untuk pemeriksaan lanjut dan menggantung sementara penggunaannya demi keselamatan awam.

Menurut laporan Workpoint 23, ular kapak bakau termasuk dalam tujuh spesies ular paling berbahaya di Thailand.

Bisanya boleh menyebabkan pendarahan teruk, pembengkakan cepat dan kerosakan tisu serius dalam tempoh singkat.

Jika tidak dirawat segera, mangsa berisiko mengalami pereputan tisu dan maut akibat tekanan darah rendah serta kehilangan darah yang banyak.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Samut Prakan, seorang lelaki dilaporkan maut selepas digigit ular tedung di rumahnya.

Lelaki itu sempat menghubungi neneknya untuk menyatakan rasa sayang dan mengucapkan selamat tinggal sebelum meninggal dunia ketika masih di talian.– AGENSI

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.