Oleh Rosanna Edeza
PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 22 Sept 2025 – Sebuah projek infrastruktur strategik di Penampang mencatatkan kejayaan luar biasa apabila kerja-kerja penaiktarafan Jambatan Sungai Moyog di Stesen Pertanian Timpangoh–Babagon dilaporkan 37 peratus lebih pantas daripada jadual asal.
Kemajuan itu bukan sahaja menandakan keberkesanan pelaksanaan projek, malah membuka lembaran baharu kepada penduduk Babagon yang sekian lama menantikan kemudahan ini.
Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata perkembangan positif itu memberi keyakinan bahawa jambatan bernilai RM16.8 juta tersebut mampu digunakan penduduk seawal hujung tahun ini – lebih awal daripada tempoh asal dua tahun.
“Pada Jun tahun lalu, saya menyempurnakan pecah tanah projek ini. Melihat kepada kemajuan sekarang, saya yakin penduduk akan menikmati kemudahan ini sebelum tarikh yang dijadualkan,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan, hari ini.
Jambatan konkrit sepanjang 90 meter itu mula dibina pada Jun 2024. Apabila siap, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 6,000 penduduk Babagon, khususnya para petani yang bergantung kepada akses jalan bagi memasarkan hasil pertanian.
Selain itu, penduduk setempat tidak lagi perlu bimbang terhadap risiko terputus hubungan setiap kali hujan lebat atau banjir kerana selama ini mereka hanya bergantung kepada laluan low level crossing yang mudah dinaiki air.
“Jambatan ini adalah impian berdekad lamanya. Ia bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi nadi penghubung yang menjamin keselamatan, keselesaan, dan kesinambungan hidup masyarakat Babagon,” jelas Ewon.
Dalam lawatannya, Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor pelaksana yang komited memastikan projek ini berjalan lebih pantas daripada jangkaan.
“Kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan kontraktor membuktikan bahawa disiplin kerja yang teratur mampu melahirkan projek berkualiti tinggi yang memberi nilai tambah segera kepada rakyat,” katanya.
Menurut Ewon, jambatan ini juga merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan kerajaan MADANI yang berteraskan kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan masyarakat luar bandar.
“Setiap projek seumpama ini adalah pelaburan untuk masa depan – ia membuka peluang ekonomi, meningkatkan taraf hidup, dan memberi jaminan keselamatan kepada generasi akan datang. Inilah wajah sebenar pembangunan MADANI,” tegasnya.
![]()